UMNO Johor compete solo PAS state election Nur Jazlan
Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diingatkan jangan terlalu gelojoh mengkritik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kedua-dua mereka ketika menjadi kerajaan membuat perkara sama seperti dilakukan Ahmad Zahid iaitu memberi peruntukan ketika pilihan raya.

Menurut Nur Jazlan, Syed Saddiq ketika memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan mengumumkan peruntukan kepada rakyat semasa Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai.

“Sebaik saja berlaku kekosongan kerusi Parlimen itu pada 21 September 2021, sebulan selepas itu YB terus umumkan Pusat Sukan Tanjung Piai dapat peruntukan RM4 juta untuk dinaiktaraf.

“Bukan ke itu pun dikira ‘menormalisasikan’ rasuah melalui peruntukan kerajaan menjelang pilihanraya?

“Lain kali jangan gelojoh sangat wahai anak muda. Jangan rasa diri tu mulia dan baik sangat pada hal YB pun pernah buat benda sama,” kata Nur Jazlan.

Sementara Tuan Ibrahim menurut Nur Jazlan, seolah-olah lupa bahawa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin ketika menjadi Perdana Menteri juga memberi peruntukan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Muhyiddin pernah buat benda serupa macam Zahid cuma Muhyiddin ni lagi teruk. Tengah-tengah tempoh kempen PRN Sabah, boleh pula dia serahkan replika cek bantuan lebih RM60 juta di program yang ada calon PN DUN Klias.

“Eh, pak lebai rasa benda tu tak nampak macam beri rasuah secara terang-terang ke? Atau pak lebai boleh pula halalkan perbuatan serupa itu sebab Muhyiddin tu rakan seperjuangan?” soal Nur Jazlan.

Sementara itu, Nur Jazlan berkata, tidak ada sebarang kesalahan dilakukan Ahmad Zahid ketika mengumumkan peruntukan kepada Persatuan Belia Gabungan Ketengah berjumlah RM100,000, Majlis Belia Terengganu sebanyak RM250,000 dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri itu.

Katanya, Ahmad Zahid bertindak dalam bidang kuasa sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Tambahan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sudah menjelaskan tiada unsur rasuah kerana ia adalah sebagai peruntukan Persekutuan. – MalaysiaGazette