Suruhanjaya Kanak-kanak
Azalina Othman Said (dua dari kanan) melawat Kompleks Mahkamah Seremban di Negeri Sembilan, hari ini.

SEREMBAN – Kerajaan merancang untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Kanak-kanak Malaysia yang bertujuan melindungi hak kanak-kanak dengan lebih berkesan pada sidang Parlimen Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kertas Kabinet bagi RUU tersebut telah disiapkan dan akan dibentangkan dalam masa terdekat.

Menurut beliau, penubuhan Suruhanjaya Kanak-kanak Malaysia yang bebas juga dapat membantu mewujudkan kefahaman secara menyeluruh dalam kalangan masyarakat.

“Kita perlu ingat bahawa mengendalikan perkara yang melibatkan kanak-kanak bukan hanya kerja solo kementerian atau mana-mana agensi tertentu.

“Sebab kalau kita lihat objektif penubuhan Suruhanjaya Kanak-kanak ini merangkumi pelbagai kementerian dan agensi dan banyak undang-undang yang bertindih,” katanya dalam sidang media selepas melawat Kompleks Mahkamah Seremban, di sini, hari ini.

Azalina menambah, kelulusan RUU tersebut juga akan memberi mandat yang lebih kepada Kerajaan Madani untuk melaksanakan pendekatan yang lebih berkesan terhadap usaha melindungi kanak-kanak.

Beliau memberitahu, setelah RUU itu diluluskan, peranan Pesuruhjaya Kanak-Kanak yang pada masa ini di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan diasingkan.

Azalina berkata, pihaknya turut mencadangkan agar Suruhanjaya Kanak-Kanak Malaysia dijadikan badan bukan kerajaan yang bebas agar ia dapat membantu kerajaan merumuskan amalan terbaik dalam kes-kes melibatkan kanak-kanak.

“Kita akan membuat perbandingan dengan negara-negara lain yang mempunyai Suruhanjaya Kanak-kanak iaitu Australia, New Zealand, India dan Indonesia,” jelasnya.

Sementara itu, beliau memberitahu, sebanyak 6,791 kes penganiayaan seksual kanak-kanak dilaporkan di seluruh negara setakat ini.

Azalina menambah, Kelantan mencatatkan jumlah tertingggi dengan 1,097 kes yang dilaporkan.

“Secara keseluruhan, kadar pelupusan adalah 76.2 peratus,” katanya.

Beliau juga berharap, kes-kes penganiayaan seksual kanak-kanak dapat diselesaikan segera agar mangsa menerima keadilan secepat mungkin.

“Saya harap dapat tulis surat kepada Ketua Hakim Negara untuk melihat sama ada kita dapat sama-sama mencari penyelesaian,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast