KITAKYUSHU, JEPUN – Beberapa pelajar Kyushu Institute of Technology (Kyutech), Jepun di sini memuji pelajar-pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menjalani program mobiliti pelajar ‘Putra Madani Outreach Innovation Technology Japan 2023’ sebagai sangat mesra, tinggi nilai persahabatan dan bijak berkomunikasi.
Pelajar ijazah pertama Kyutech, Takeru Tanaka, 21, berkata, pelajar Malaysia sebagai sentiasa ceria dan ramah jika dibandingkan dengan pelajar Jepun yang lebih pemalu.
“Mereka berkomunikasi dengan positif dan bijak. Saya berharap program pertukaran pelajar pelajar Jepun ke UPM pada bulan November ini akan disertai oleh pelajar Malaysia yang sama,” katanya.
Tanaka bercadang ingin menyambung pengajian ke UPM kelak kerana Malaysia agak popular pada masyarakat Jepun sebagai sebuah negara unik dengan pelbagai etnik dan cantik alam semula jadi.
Sementara itu pelajar Master, Ueda Hisaki, 22, berkata, pelajar Malaysia aktif berkomunikasi dan bersifat terbuka dengan pelajar Jepun.
“Mereka nampak pintar, sentiasa gembira dan bersifat mesra dalam tugasan berkumpulan yang diberikan,” katanya yang amat gembira dengan pendekatan pelajar UPM itu.
Pelajar wanita, Toyoda Yukino, 20, berkata, pelajar Malaysia mementingkan nilai persahabatan, bersifat lemah lembut, tenang dan sabar.
”Mereka juga aktif bercakap dan suka bergaul dengan orang di sekeliling. Ini agar berbeza dengan masyarakat Jepun yang agak pemalu,” kata pelajar jurusan Kimia Gunaan tersebut.
Sementara itu pengarah program tersebut, Muhammad Ikram Marozan, pelajar tahun 3 UPM berkata, mereka memilih Jepun untuk program mobiliti kerana etika kerja, mutu kerja serta disiplin tinggi mereka wajar dicontohi.
Katanya, pelajar UPM ibarat duta yang membawa nilai-nilai murni gagasan Malaysia Madani seiring dengan nilai-nilai murni Jepun yang wajar dicontohi seperti menepati masa, komited kepada tugas dan menepati janji.
Pelajar Master UPM, Ahmad Shukry Yahya berkata, program itu untuk bertujuan mengembangkan ilmu dan kemahiran pelajar UPM dengan kemajuan teknologi hijau di Jepun melalui kerjasama UPM dengan Kyutech yang melibatkan pertukaran 1,322 pelajar sejak tahun 2012.
Katanya saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin agar pelajar menerapkan kemahiran dan kecekapan teknologi bersifat ‘kalis masa depan’ selari dengan program itu kerana Kyutech ialah universiti Jepun yang tersohor dalam kejuruteraan sains, teknologi, robotik dan aero angkasa. – MalaysiaGazette