Bangunan Jabatan Perkhidmatan Awam, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 04 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) akan diadakan pada 7 Ogos ini untuk membincangkan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebagai inisiatif pembaharuan dalam perkhidmatan awam.

Jabatan Perkhidmatan Awam berkata, mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, JPA berkata, jabatan itu sedang memperhalusi cadangan yang dikemukakan oleh kementerian, jabatan dan agensi bagi mengkaji semula sistem saraan perkhidmatan awam.

Usaha ini telah digerakkan mulai 26 Julai 2023 melalui beberapa sesi libat urus JPA bersama-sama dengan kementerian serta agensi kerajaan persekutuan yang
merangkumi enam kluster iaitu keselamatan, kesihatan, pendidikan, sains dan teknologi serta teknikal dan pengurusan.

Bagi memastikan cadangan penambahbaikan yang diterima bersifat terangkum serta inklusif, JPA telah membangunkan portal khusus bagi menerima input daripada
seluruh penjawat awam.

Segala cadangan penambahbaikan serta pembaharuan boleh dikemukakan melalui portal kajian SSPA menerusi laman sesawang https://semakansaraan.jpa.gov.my.

Tambahnya, JPA komited menjaga kebajikan penjawat awam dengan menambah baik sistem saraan secara komprehensif bagi memastikan perkhidmatan awam berdaya tahan
dalam mendepani cabaran di masa hadapan. – MalaysiaGazette