BUTTERWORTH – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang mendakwa seorang ustaz daripada Pas ada memberitahu pengundi agar tidak menyertai sebarang ‘kenduri’ anjuran UMNO atau berisiko masuk neraka.
Shaik Hussein Mydin berkata, dia mendengar sendiri dakwaan itu semasa menghadiri kenduri yang dianjurkan oleh orang kampung baru-baru ini.
“Saya terkejut mendengar itu (jauhi kenduri UMNO atau masuk neraka). Saya tak masak makanan pun di situ. Namun saya memberitahu orang kampung tidak mengapa, esok kita akan membuat kenduri lebih besar lagi,” kata calon DUN Sungai Dua itu dalam ucapan di Butterworth Arena malam tadi.
Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023 dan Pengenalan calon-calon Perpaduan PH-BN.
Tambah Shaik Hussein, apabila beliau bertanya penduduk kampung siapa yang telah mengeluarkan dakwaan itu, penduduk memaklumkan ia datang daripada seorang ustaz dari Tasek Gelugor.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang berkata, penduduk kampung itu kecewa apabila mereka terdengar kata-kata sedemikian daripada ustaz berkenaan.
“Ini bukan kali pertama seseorang daripada Pas melemparkan kenyataan demikian,” ujarnya. – MalaysiaGazette