Mohd Khairuddin Othman

SHAH ALAM – Mohd Khairuddin Othman mengajak rakyat yang juga pengundi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras, dekat sini, mengekalkan beliau untuk terus berkhidmat bagi penggal Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15.

Beliau yang merupakan bekas Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan Selangor mahu meneruskan kesinambungan khidmatnya di kawasan itu dengan slogan Kekal Berkebajikan.

“Terima kasih atas kepercayaan dan amanah untuk menggalas tanggungjawab sebagai calon Pakatan Harapan (PH) sekali lagi dalam PRN kali ini.

“Kepada semua pengundi dan warga DUN Paya Jaras, saya adalah calon nombor dua DUN Paya Jaras mewakili PH.

“Dengan rendah diri, saya mohon sokongan anda semua untuk mengundi saya sebagai wakil anda di DUN Negeri Selangor untuk penggal ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Beliau berharap semua pengundi, tidak kira dewasa mahupun anak muda yang layak mengundi, keluar menterjemahkan pilihan mereka pada 12 Ogos ini.

“Ayuh, kita semarakkan aura Gelombang Perpaduan di DUN Paya Jaras dan kita kekalkan berkebajikan demi perpaduan Selangor dan kemakmuran rakyat,” katanya.

Khairuddin mula bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11) di kerusi Semenyih, sebelum ditukar ke DUN Paya Jaras pada PRU12 dan PRU13, yang ketika itu berada dalam Parlimen Subang.

Bagaimanapun, selepas persempadanan semula, kawasan itu dimasukkan dalam Parlimen Sungai Buloh dan beliau mengekalkan kemenangannya pada PRU14.

Dalam PRN15, Khairuddin yang merupakan seorang peguam dicabar calon Pas, Ab. Halim Tamuri. – MalaysiaGazette