KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluas inisiatif Payung Rahmah dengan pengeluaran baja Rahmah yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata, sesi libat urus membabitkan pihak-pihak berkaitan kini dalam proses perbincangan peringkat akhir.
“Kita dapat maklumat melalui libat urus, kadang-kadang kita diberitahu harga sayur naik melibatkan harga baja.
“Jadi saya sendiri sedang buat libat urus dengan syarikat yang boleh keluarkan baja yang baik dengan harga yang bagus. Ini dinamakan baja Rahmah,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Payung Rahmah Kasih Sayang oleh Pantai Selamat Group di Pasaraya Fresh Choice di Taman Tas, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, inisiatif terbaharu itu diharap dapat mengawal harga barang makanan meliputi tanaman dan sayuran sekaligus membantu meringankan tanggungan kos sara hidup rakyat khususnya golongan B40.
Inisiatif produk baja Rahmah tersebut juga dapat membantu golongan pekebun kecil dan petani di samping meningkatkan pengeluaran hasil.
Dalam pada itu, Fuziah memaklumkan inisiatif Jualan Rahmah Bergerak menerusi konsep ‘Kedai Cari Rakyat’ bakal diperluas ke Pahang menjelang bulan September ini bagi kawasan yang kekurangan pasar raya.
Katanya, sejak ia dilancarkan di Pulau Pinang pada 16 Jun lalu, KPDN telah melaksanakan lebih 400 Jualan Rahmah Bergerak di seluruh negara.
“Setakat ini sambutan amat memberangsangkan. Kalau kita bawa lori 10 tan untuk Jualan Rahmah Bergerak ni, dalam masa tiga jam akan habis. Rakyat kini tertunggu-tunggu Jualan Rahmah,” ulasnya.
Bercakap mengenai program yang diadakan hari ini pula, beliau berkata, KPDN dengan kerjasama Pantai Selamat Group telah melancarkan Pakej Rahmah dengan harga jimat RM55 bagi 15 barangan terpilih yang bernilai RM70 khusus untuk golongan yang memerlukan bagi menangani kos sara hidup.
“Untuk makluman, ayam standard bersih dijual pada harga RM6.39 sekilogram berbanding harga siling iaitu RM9.40 sekilogram. Manakala telur ayam gred B pula dijual pada harga RM10.00 sepapan berbanding harga siling RM12.90 sepapan,” katanya.
Dalam pada itu, pada hari ini juga, Pantai Selamat Group telah menyumbangkan sebanyak 100 Bakul Rahmah mengandungi beras, minyak masak, bihun, makanan dalam tin, Milo, dan pelbagai barangan keperluan harian yang bernilai lebih daripada RM100 kepada golongan yang memerlukan.
Pakej Rahmah bole didapati di Cawangan Fresh Choice Taman Tas dan Cawangan Pantai Selamat Indera Mahkota bermula 2 Ogos hingga 2 Oktober ini, manakala Jualan Rahmah yang membabitkan diskaun antara 10% sehingga 30% ke atas 24 barangan pula akan berakhir 4 Ogos ini. – MalaysiaGazette