Sunday, April 28, 2024
Home Nasional Manifesto PH-BN Pulau Pinang kesinambungan prestasi 15 tahun

Manifesto PH-BN Pulau Pinang kesinambungan prestasi 15 tahun

Zairil Khir Johari membentangkn manifesto Perpaduan menjelang PRN Pulau Pinang.

BUTTERWORTH – Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang telah melancarkan Manifesto Perpaduan dengan 16 tema utama, kesinambungan kepada dasar, polisi dan rekod prestasi kerajaan negeri selama 15 tahun ini.

Manifesto tersebut dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Manifesto Perpaduan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari.

Antara 16 tema utama tersebut adalah cakna kebajikan rakyat; sosioekonomi rakyat diperjuangkan; suntikan pekerjaan berkemahiran tinggi; syiar Islam dipertahankan, kelengkapan infrastruktur utama dan penyeimbangan pembangunan kawasan luar bandar.

Selain itu, percambahan modal insan; perumahan untuk semua; memperkasakan golongan wanita dan belia; keterjaminan rantaian makanan, pemantapan sektor pelancongan dan perkhidmatan serta inisiatif penyuraian trafik.

Antara lain, manifesto itu menawarkan penubuhan Tabung Pembangunan Sosial Negeri daripada kutipan fi kesihatan perubatan ke atas warga asing bagi memanfaatkan golongan memerlukan selain menarik pelaburan berimpak tinggi melalui pembangunan projek Silicon Island yang dijangka menjana RM7 bilion kepada ekonomi tempatan pada tempoh pembinaan.

Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023 turut menyentuh 15 perkara penting iaitu menambah baik program bantuan kepada warga emas, ibu tunggal, OKU dan miskin tegar, menarik pelaburan berimpak tinqqi melalui pembangunan Projek Pulau Silikon yang direka bentuk mengikut prinsip prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan dijangka menjana RM7 bilion kepada ekonomi tempatan pada tempoh pembinaan.

Selain itu, memberi bantuan RM1,000 kepada setiap jemaah haji daripada golongan B40; memulakan pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang dan Kereta Kabel Bukit Bendera.

Selain itu, bantuan RM600 setahun kepada pemandu e-hailing dan insurans kemalangan diri kepada penunggang p-hailing (motosikal); meneruskan bantuan RM600 setahun kepada pemandu teksi dan bas sekolah.

Zairil berkata, manifesto itu memperkenal Skim Perumahan Sewa Khas kepada golongan belia atau bujang, serta menyumbang komputer riba percuma kepada pelajar daripada golongan B40 yang memperoleh tawaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Manifesto itu juga menawarkan bayaran bantuan sara hidup kepada pesawah dan pekebun sayur serta bantuan pukat kepada golongan nelayan dan memperkenalkan Program Mempelai Emas RM500 secara ‘one-off‘ untuk setiap pasangan yang baru mendirikan rumah tangga. – MalaysiaGazette