KUALA LUMPUR – Sebuah premis makanan diarah ditutup di bawah UUK 28(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan WPKL 2016 manakala lapan lagi diberi notis kompaun kerana didapati kotor dan gagal mematuhi keperluan kesihatan.
Tindakan itu hasil operasi yang diketuai oleh Ketua Pejabat Kesihatan DBKL dan Parlimen Batu.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, dalam operasi itu sejumlah 12 premis telah dilawati, namun tiga kedai tidak beroperasi dan hanya sebanyak 9 sahaja diperiksa.
Tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap premis-premis terbabit kerana gagal mematuhi kehendak-kehendak kesihatan seperti terdapat kesan urungan tikus (najis) dan serangga perosak di ruang dapur, aktiviti penyediaan makanan dan pencucian pinggan mangkuk di luar premis dan lantai dan dinding di ruang dapur dalam keadaan kotor.
Selain itu, bahan makanan diletakkan kurang 20 sentimer dari paras lantai, alat perangkap minyak tidak dilengkapi dan diselenggara dengan baik dan berkala, alat pepasangan seperti kipas penyedut asap dan lampu dalam keadaan kotor, peti sejuk dalam keadaan kotor, pengendali makanan tidak mendapat suntikan tifoid dan kursus pengendali makanan dan tidak memakai penutup kepala, apron dan kasut semasa mengendali makanan.
DBKL akan meneruskan tindakan seumpama ini dari semasa ke semasa bagi memastikan pengusaha premis makanan mematuhi kehendak-kehendak kesihatan yang telah ditetapkan, katanya. – MalaysiaGazette