JOHOR BAHRU – Pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) meraih kejayaan berganda dalam GT World Challenge Australia selepas dua pelumbanya menamatkan perlumbaan di kedudukan podium.
Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Ibni Sultan Ibrahim bersama Richie Stanaway menduduki tempat kedua ketika perlumbaan pada Sabtu lalu di litar lumba Sydney.
Manakala gandingan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dengan Jamie Whincup berada di kedudukan ketiga keesokan harinya.
Tunku Abdul Rahman yang memulakan perlumbaan di petak keempat mempamerkan pemanduan konsisten bagi mengekalkan kedudukan sebelum ke pertukaran mandatori pelumba untuk Stanaway mula beraksi.
Pelumba dari New Zealand itu tidak perlu menunggu lama untuk memukau apabila mencatatkan rekod baharu masa terpantas GT3 dengan jentera Mercedes-AMG sekali gus merapatkan jurang 20 saat dengan pendahulu perlumbaan.
Kejayaan itu dikongsikan menerusi laman Facebook Royal Johor hari ini.
Stanaway mempamerkan pemanduan bertenaga untuk mengejar pendahulu, Gannet Patterson dan menamatkan perlumbaan di tempat kedua
Perlumbaan kedua pada Ahad lalu pula menyaksikan Stanaway yang bermula di petak hadapan terpaksa menamatkan perlumbaan berbaki 38 minit saingan akibat masalah teknikal.
Bagaimanapun, Whincup mengorak langkah merampas kedudukan kedua sebelum Tunku Abu Bakar menggantikannya pada pertukaran mandatori pelumba yang menyaksikan pasukan JMR kembali ke perlumbaan di kedudukan kelima.
Kedua-dua Putera Sultan Johor akan meneruskan saingan pusingan kelima GT World Challenge Australia di litar lumba Queensland pada 11 hingga 13 Ogos ini.- MalaysiaGazette