Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi dalam dua serbuan berasingan di Rawang, Selangor pada semalam.

Serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota Penguat Kuasa KPDN Putrajaya bermula kira-kira jam 6 petang itu hasil risikan yang telah dilakukan beberapa hari sebelum operasi dilancarkan.

Hasil pemeriksaan ke atas lokasi serbuan pertama iaitu di sebuah premis tanpa nama di Pusat Perdagangan Sri Pagi Sungai Choh, Rawang, mendapati beberapa individu sedang leka melakukan aktiviti memotong bungkusan minyak masak paket 1kg bersubsidi yang kemudian dipindahkan ke dalam sebuah tangki jenis poly tank.

Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDN, Shamsul Nizam Khalil berkata, modus operandi sindiket ini adalah dengan membeli minyak masak paket 1kg bersubsidi, kemudian dipindahkan ke dalam sebuah tangki dan dibotolkan semula sebelum dijual mengikut harga terkini pasaran minyak masak bukan bersubsidi.

Dalam satu lagi serbuan berasingan di sebuah premis disyaki menjalankan aktiviti jual beli minyak masak terpakai yang terletak di Kawasan Perindustrian Anugerah Suria, Rawang, mendapati beberapa individu sedang leka melakukan aktiviti pemindahan minyak masak ke dalam sebuah lori tangki.

Pemeriksaan lanjut ke atas premis itu juga telah menemukan sejumlah minyak masak baharu yang telah siap diproses disyaki akan dijual di pasaran.

Katanya, modus operandi premis adalah berselindung di sebalik aktiviti jual beli minyak masak terpakai dan berurusniaga dengan barang kawalan iaitu minyak masak tanpa kebenaran.

Hasil serbuan di kedua-dua premis terbabit telah melibatkan rampasan ke atas minyak masak dengan jumlah keseluruhan sebanyak 12,000kg, beberapa peralatan yang digunakan seperti pam bermotor, hos penyambung, gunting besi,
telefon bimbit, alat decoder CCTV dan beberapa dokumen perniagaan lain yang akan digunakan bagi tujuan siasatan lanjut.

Menurut Shamsul Nizam, nilai rampasan bagi kedua-dua kes ini dianggarkan berjumlah RM60,000.

Seramai enam lelaki warga tempatan dan sembilan individu, dua daripadanya merupakan wanita, bukan warga tempatan telah ditahan bagi membantu siasatan.

Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini akan dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta mengenalpasti rantaian pengedaran minyak masak terbabit.

KPDN ingin memberi amaran keras terhadap mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan
berkaitan minyak masak.

Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti
haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi.

Shamsul Nizam menambah, KPDN juga memberikan amaran keras kepada semua yang berkaitan dan menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini.

Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast