Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abd Rahman dan calon MUDA DUN Temiang, Ahmad Qusyairi Abdul Rahim.

SEREMBAN – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) belum memutuskan sama ada mahu meletakkan calonnya bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, 9 September ini.

Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abd Rahman sebaliknnya berkata, fokus parti itu adalah untuk memastikan kemenangan 19 calonnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di empat daripada enam negeri ditandingi.

“Sejujurnya dalam bab (bertanding PRK) lebih baik tempoh masa ini kita berikan penghormatan kepada arwah (Datuk Seri Salahuddin Ayub) yang sangat rapat dengan saya dan ramai kepimpinan MUDA.

“Isu pilihan raya itu bukan dalam perbincangn kami sebab kita hormat jasa arwah dan atas memorinya dan ini bukan platform untuk mengulas (bertanding),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membantu kempen calon tunggal MUDA di Negeri Sembilan yang bertanding bagi kerusi DUN Temiang, Ahmad Qusyairi Abdull Rahim.

Syed Saddiq (kanan) membantu kempen calon tunggal MUDA di Negeri Sembilan yang bertanding bagi kerusi DUN Temiang, Ahmad Qusyairi Abdul Rahim. (kiri)

Ditanya adakah itu bermakna partinya tidak mahu meletakkan calon, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar mengulangi pendirian untuk menghormati jasa Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu.

“Sekarang kita fokus pada PRN, kita tak fikirkan pun (PRK) sekarang…saya dah maklumkan pada MUDA, jangan fikirkan PRK,” katanya.

PRK di Parlimen dan DUN berkenaan diadakan berikutan kematian Salahuddin, 61 yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup 23 Julai lalu.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada pukul 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.- MalaysiaGazette.