Dominic Lau.

GEORGE TOWN –  Pas didakwa tidak mengamalkan konsep keterbukaan dalam memastikan objektif Perikatan Nasional (PN) untuk menang dalam Pilihan Raya negeri Ke-15 (PRN15) di enam negeri tercapai.

Sumber dalam gabungan parti itu berkata, ia susulan beberapa insiden yang tidak enak berlaku di Pulau Pinang membabitkan Presiden Gerakan, Dominic Lau dengan kempimpinan Pas negeri.

Beliau yang juga Ahli jawatankuasa pusat PN berkata, sikap suka berperang ‘Pas’ dibimbangi akan memberikan kesan kepada undi bukan Melayu.

“Ketika nama Dominic disebut-sebut akan bertanding di Teluk Ayer Tawar mereka (Pas) menyatakan pendirian Dominic tidak sepatutnya diletakkan di kawasan Melayu meskipun ia adalah kawasan campuran.

“Apabila pimpinan pusat namakan Dominic di Bayan Lepas timbul isu lain sehingga Pas bertindak memboikot beliau bermula dari hari pengumuman calon sehingga kempen hari ini.

“Malah difahamkan ada beberapa pemimpin parti itu di peringkat negeri merancang membuat bantahan terhadap Dominic di Bayan Lepas yang dilihat akan merugikan PN secara keseluruhannya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah sumber itu, Pas harus memikul tanggungjawab sekiranya PN gagal merampas negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan.

“Kita faham mana-mana parti alami situasi perbezaan pandangan khususnya isu pembahagian kerusi tapi apabila diputuskan peringkat pusat semua parti gabungan kena bersatu hati untuk menangkan PN bukan hanya memihak pada parti sendiri,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video menunjukkan seorang pemimpin Pas negeri menghalang Dominic menyertai Ceramah Mega PN Best di Sungai Dua pada Selasa lalu.

Malah, Dominic diminta untuk meninggalkan majlis atas alasan tidak diundang untuk menyertai program berkenaan.

Ceramah mega itu menampilkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Pengerusi Perhubungan Bersatu Pulau Pinang merangkap calon PN DUN Penanti, Zulkifli Bakar.

Bagaimanapun, Dominic menafikan dakwaan kononnya dia diminta meninggalkan ceramah mega ‘PN Best’ yang dianjurkan oleh Pas itu, selain menegaskan kehadiranya hanya untuk berjumpa dengan Hadi Awang. – MalaysiaGazette