Dominic mengadakan perjumpaan bersama nelayan di Teluk Kumbar hari ini.

BAYAN LEPAS – “Saya tak kecil hati dengan apa yang berlaku kerana dalam politik apa saja boleh berlaku dan yang penting kini fokus untuk menangkan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini,” kata Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai.

Beliau yang juga calon PN bagi Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung satu rakaman video menunjukkan seolah-olah beliau dihalau, dihalang daripada Ceramah Mega PN Best di Sungai Dua pada 1 Ogos lalu.

Menjelaskan keadaan Dominic berkata, pihaknya tidak dijemput untuk menghadiri ceramah tersebut dan kehadiranya beliau hanya untuk bertemu dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Dominic.

“Tak kecil hati, dalam politik ini macam-macam boleh berlaku antara parti gabungan cuma prinsip saya ia harus diselesaikan peringkat dalaman parti.

“Soal Gerakan tak dijemput itu tak kisah kerana bukan ceramah anjuran PN negeri, sebaliknya anjuran Pas sendiri manakala pemimpin Bersatu negeri (Zulkifli Bakar) dijemput susulan beliau antara calon PN bagi DUN Penanti.

”Apa yang penting dan fokus saya adalah untuk terus berkempen bagi mendapatkan kepercayaan daripada rakyat agar PN menang,” katanya kepada pemberita di Teluk Kumbar, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut sama ada tindakan Setiausaha Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim berdasarkan rakaman video itu mencalarkan imejnya, Dominic berkata, ia tidak menjejaskan imej beliau sebagai presiden parti.

Dominic dakwa dapat respon positif dalam kalangan nelayan dan penduduk setempat.

“Ikutkan saya tak mahu komen apa yang berlaku namun media sudah main isu ini, jadi saya buat penjelasan dan saya harap ini kali terakhir saya beri penjelasan mengenai insiden serta gambaran dalam video tersebut.

“Terpulang kepada mereka yang lihat untuk nak naratifkan perkara ini namun bagi saya ia tidak menjejaskan reputasi presiden kerana sebagai pemimpin pelbagai cabaran kita kena hadapi,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video menunjukkan seorang pemimpin Pas negeri menghalang Dominic menyertai Ceramah Mega PN Best di Sungai Dua pada Selasa lalu.

Dominic diminta untuk meninggalkan majlis atas alasan tidak diundang untuk menyertai program berkenaan.

Ceramah mega itu menampilkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Pengerusi Perhubungan Bersatu Pulau Pinang merangkap calon PN DUN Penanti, Zulkifli Bakar. – MalaysiaGazette