Chow Kon Yeow semasa walkabout kempen PRN bersama calon DUN Padang Lalang Daniel Gooi Ze Sin di Pasar Awam Taman Sri Rambai Bukit Mertajam hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Kerajaan negeri Pulau Pinang telah menaiktaraf, membina dan menempatkan semula sebanyak 58 pasar awam dan pusat penjaja di negeri itu sejak tahun 2008 sehingga hari ini.

Ketua Menterinya Chow Kon Yeow berkata, ia adalah agenda penting kerajaan negeri untuk menjamin kawasan perniagaan yang kondusif dan selesa untuk peniaga dan juga pengguna.

“Tetapi ia mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan bergantung kepada peruntukan kewangan.

“Pada tahun ini sahaja, enam lagi pasar akan dinaiktaraf di enam lokasi manakala minggu lalu saya telah melancarkan dua tapak penjaja,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa walkabout bersama calon DUN Padang Lalang Daniel Gooi Ze Sin di Pasar Awam Taman Sri Rambai, Padang Lalang di sini pagi hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow menambah, Pasar Awam Sri Rambai adalah berbumbung.

Manakala di luar pasar itu pula terdapat penjaja berniaga tanpa lesen dan sentiasa berdepan tindakan penguatkuasaan.

Namun, untuk mengatasi penjaja haram itu, kerajaan negeri mengenakan sewa harian untuk tempoh panjangg.

Tetapi pendekatan itu hanya bersifat sementara.

Dalam pada itu, calon DUN Padang Lalang Daniel Gooi pula menjelaskan, untuk pembangunan premis pasar awam bukan satu kerja yang mudah seperti disangkakan.

“Ia membabitkan banyak pihak yang mana kerajaan negeri yang perlu berhubung dengan ramai pemegang taruh kerana tidak mahu pasar dibina menjadi projek gajah putih,” ujarnya. – MalaysiaGazette