Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama 50 pendaki yang akan menyertai Ekspedisi Simulasi Menyelamat Di Altitud Tinggi @Mardi Himal, Nepal di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar pengalaman Ekspedisi Simulasi Menyelamat Di Altitud Tinggi @ Mardi Himal di Nepal dibukukan.

Ia bagi dijadikan sumber rujukan pada masa akan datang.

Seri Paduka yakin ekspedisi itu bakal  mengharumkan nama Malaysia kerana dapat mewujudkan satu pasukan penyelamat  daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Kita jadikan misi ini sebagai misi pengajaran. Kita membawa balik dan praktis serta boleh beri pembelajaran kepada semua pendaki akan datang.

“Mungkin di satu masa negara boleh menyediakan pasukan penyelamat memberi bantuan kemanusiaan ke negara lain yang menghadapi masalah atau bencana di kawasan pergunungan,” titahnya.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berangkat dan menyempurnakan Majlis Pelepasan Kontinjen ke Ekspedisi Simulasi Menyelamat Altitud Tinggi @Mardi Himal, Nepal sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-64 Sultan Pahang di Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga menyaksikan gimik pelancaran yang disertai 50 pendaki daripada pelbagai agensi.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan exco kerajaan Pahang. – MalaysiaGazette