GEORGE TOWN – Bayi perempuan berusia 40 hari dan kakaknya yang dihempas serta dicampak bapa saudara mereka dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Sungai Pinang di sini, semalam, kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, masing-masing mereka masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) namun sudah dipindahkan ke wad biasa.

“CT Scan (tomografi berkomputer) sudah dilakukan dan tiada yang serius cuma bayi itu mengalami bengkak di kedua belah mata.

”Mungkin bayi itu akan ditahan di wad dalam tempoh 24 jam lagi sebelum dibenarkan pulang.

“Manakala kakaknya, mengalami keretakan pada tulang paha di bahagian kiri selain cedera di bibir,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut hari ini.

Mengulas lanjut mengenai suspek, Soffian berkata, lelaki itu sudah selesai menjalani pembedahan semalam pada bahagian pergelangan tangan kiri yang dikelarnya sendiri.

“Setakat ini kita masih menunggu pengesahan sama ada dia mempunyai masalah mental atau tidak namun suspek masih berada dalam keadaan meracau.

“Suspek juga menyatakan dia sudah mati dua hari lepas tapi kita tak boleh buat kesimpulan awal sebelum mendapat keputusan rasmi rekod perubatan,” katanya.

MalaysiaGazette semalam melaporkan lelaki yang cuba membunuh dua anak saudaranya dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Sungai Pinang di sini, direman selama tujuh hari.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Daerah Timur Laut ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP). – MalaysiaGazette