Dominic menyertai sidang media Tolak Tambak Laut bersama pemimpin persatuan nelayan di Sungai Batu hari ini.

TELUK KUMBAR – Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan akan membatalkan projek tambak laut yang kini dikenali Silicon Island di perairan selatan Pulau Pinang sekiranya mengambil alih pemerintahan dari Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) 12 Ogos ini.

Pengerusi PN Pulau Pinang, Datuk Dominic Lau Hoe Chai berkata, bantahan itu selari dengan tuntutan nelayan bahawa ia merupakan kawasan hasil laut yang sepatutnya dipertahankan demi keterjaminan makanan.

Beliau juga bersetuju dengan tuntutan nelayan mahukan kawasan itu dijadikan lokasi heritage dan pelancongan.

“Meskipun skop projek ini dikecilkan kepada satu pulau kita tetap membantah dan sekiranya diberikan mandat oleh rakyat pada 12 Ogos ini, kita akan batalkan terus projek tersebut.

“Malah, hentikan projek tambakan laut ini merupakan salah satu manisfesto saya selaku calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas,” katanya hari ini.

Terdahulu, Dominic menyertai sidang media Tolak Tambak Laut bersama pemimpin persatuan nelayan di Sungai Batu.

Pada 1 Ogos lalu, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di bawah payung Kerajaan Perpaduan menyenaraikan projek Silicon Island dalam 16 tunjang manifesto mereka bagi PRN kali ini.

Meskipun disenaraikan projek terbabit terus mendapat bantahan majoriti golongan nelayan negeri ini termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan alam sekitar yang mendesak ia dibatalkan bukan dikecilkan kepada satu pulau.

Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengecilkan skop projek tambak laut daripada tiga kepada hanya satu pulau iaitu melibatkan pengurangan 1,821 hektar (4,500 ekar) tambakan laut kepada hanya 930 hektar (2,300 ekar).

Projek itu kini dikenali sebagai ‘Silicon Island’ yang akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan keseluruhan membabitkan tempoh 10 hingga 15 tahun untuk kerja-kerja tambakan. – MalaysiaGazette