Ahmad Tarmimi mengharumkan nama negara dengan membawa pulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Perjalanan Pertama. - Foto Ihsan AIFFA 2023

KUALA LUMPUR – Pelakon veteran, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, 72, mengharumkan nama negara apabila membawa pulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik menerusi lakonannya dalam filem Perjalanan Pertama pada malam kemuncak Festival Filem Antarabangsa (AIFFA) 2023 di Old Courthouse Kuching, Sarawak, malam tadi.

Beliau mengetepikan Andrew Ramsay menerusi filem Ginhawa (Filipina), Tommy Alejandrino (The Baseball Player – Filipina), Huy Yaleng (Father’s – Kemboja) dan Amerul Affendi (Prebet Sapu – Malaysia).

Ahmad Tarmimi diberi kepercayaan membawa watak Tan iaitu datuk kepada Yahya yang dilakonkan pelakon kanak-kanak Indonesia, Muzakki Ramdhan dalam filem arahan Arief Malinmudo itu menerusi dalam naskhah pertama  kerjasama dua negara Malaysia-Indonesia membabitkan syarikat produksi tempatan, D Ayu Pictures dan Mahakarya Pictures.

Selain Ahmad Tarmimi, filem itu turut dibintangi Andinda Thomas, Randy Pangalila dan Gilang Dirga.

Malaysia turut membawa pulang trofi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi lakonan mantap pelakon berpengalaman, Hasnul Rahmat menerusi filem Jerangkung Dalam Almari arahan Shadan Hashim.

Hasnul menewaskan JM San Jose Bautisa menerusi filem The Baseball Player (Filipina), Beto Kusyairi (Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan – Malaysia), Benjamin Alves (Angkas – Filipina) dan Otig Pakis (The Woman Crowned with a Crescent Moon – Indonesia).

Selain itu, filem bergenre aksi yang menyelitkan elemen tradisional Melayu, Duan Nago Bogho terbitan Kalamarif Holdings Sdn Bhd merangkul trofi Asean Spirit Award, manakala pengarah berpengalaman, U-Wei Saari diberikan penghormatan sebagai penerima Anugerah Sepanjang Hayat.

Bront berbangga apabila filem lakonannya, Barbarian Invasion diangkat Filem Terbaik pada malam kemuncak AIFFA 2023. – Foto Ihsan AIFFA 2023

Sementara itu, Filem Barbarian Invasion arahan Tan Chui Mui sekali lagi melakar sejarah apabila merangkul trofi Filem Terbaik yang menyaksikan filem terbitan Da Huang Pictures itu menewaskan enam karya lain iaitu Before, Now & Then dari Indonesia, Ginhawa (Filipina), Prebet Sapu (Malaysia), Kargo (Filipina), Perjalanan Pertama (Malaysia & Indonesia) dan Duan Nago Bogho (Malaysia).

Filem lakonan Chui Mui, Pete Teo, Bront Palarae, James Lee dan Zhiny Ooi itu turut memenangi kategori Lakon Layar Terbaik.

Pada 2021, Barbarian Invasion memenangi trofi Jury Grand Prix pada acara kemuncak Golden Goblet Awards sempena Festival Filem Antarabangsa Shanghai (SIFF) Ke-24 di Shanghai, China.

Tahun lalu, pelakon utama yang juga pengarah, Chui Mui diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-32 (FFM32). Selain Chui Mui, filem berkenaan turut dibintangi Pete Teo, Bront Palarae, James Lee dan Zhiny Ooi.

Bintang K-Pop terkenal, Rain yang hadir memeriahkan majlis turut menerima Anugerah Inspirasi Asean.

Rain atau nama sebenarnya, Jung Ji Hoon, 40, adalah salah satu bintang terbesar dunia K-Pop yang mempunyai ramai peminat di Korea Selatan, Asia dan seluruh dunia.

Bukan hanya dikenali sebagai penyanyi, Rain juga pelakon, penari dan pengacara pelbagai program.

Malam kemuncak AIFFA 2023 turut dimeriahkan dengan persembahan artis Malaysia dan Indonesia seperti Hetty Koes Endang, Datuk Sheila Majid, Zee Avi, Amir Jahari dan The Shang Sisters.

Berlangsung secara fizikal dari Rabu sehingga hari ini di Kuching, Anugerah AIFFA 2023 menyaksikan 17 kategori dipertandingkan meliputi semua aspek utama bidang kreatif dan teknikal penghasilan filem.

Barisan juri buat AIFFA 2023 adalah U-Wei Saari dan Effendee Mazlan dari Malaysia, Ihsan Nurullah Kabil (Turkiye), Viva Westi (Indonesia) dan Pham Thi Hong An (Vietnam).

AIFFA diiktiraf oleh Menteri Pelancongan ASEAN pada 2012 sebagai satu acara untuk mengetengahkan filem ASEAN. – MalaysiaGazette