Kredit: FB - Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf kepada warga Taman Medan dan Dusun Tua atas ketidakhadiran beliau ke Jelajah Perpaduan MADANI yang diadakan di kedua-dua lokasi itu Khamis lepas.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata beliau tidak dapat hadir di kedua-dua lokasi itu kerana perlu menyantuni dan meraikan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah yang mengadakan lawatan negara ke Malaysia selama tiga hari bermula 2 Ogos lepas.

Justeru, sebagai ganti kepada acara itu beliau akan turun padang ke Taman Medan pada pukul 9 malam esok (Ahad) diikuti Ampang (10 malam) dan Hulu Kelang (11 malam).

“Saya ingin mengajak semua pendukung perpaduan untuk hadir bersama dan nyatakan sokongan kepada calon PH-BN di Selangor,” kata Anwar.

Khamis lepas Anwar asalnya dijadual menghadiri ceramah umum perpaduan di Taman Medan pada pukul 10 malam dan Dusun Tua (11 malam) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRN di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada 12 Ogos, manakala pengundian awal pada 8 Ogos. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast