Faisal Abdul Halim. Foto Facebook Selangor FC.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengekalkan hukuman yang dikenakan ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) dan penyerang Selangor, Faisal Abdul Halim.

Keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Rayuan FAM yang bermesyuarat buat kali keenam bagi penggal 2021-2025 di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Menurut kenyataan FAM, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohammad Mokhtar Mohamad Shariff itu membincangkan empat kes.

Tiga kes membabitkan tindakan penyokong JDT membakar suar dalam aksi Liga Malaysia (Liga M) sementara kes Faisal pula berkenaan penggantungan sebulan yang dikenakan ke atasnya sebelum ini.

“Bagi tiga kes pertama membabitkan penyokong JDT membakar suar, rayuan yang dikemukakan oleh Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim ditolak, sekali gus hukuman denda berjumlah RM120,000 bagi ketiga-tiga kes berkenaan adalah dikekalkan.

“Sementara bagi kes keempat membabitkan pemain Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim, penggantungan selama sebulan dari 25 Julai hingga 23 Ogos 2023 adalah dikekalkan.

“Bagaimanapun, jawatankuasa bersetuju untuk memberi kelonggaran membenarkan Faisal kembali turun menjalani sesi latihan bersama Selangor FC berkuat kuasa serta-merta bagi memastikan beliau dapat mengekalkan tahap kecergasannya sebagai seorang pemain bola sepak,” kata badan induk itu.

Bulan lalu, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman menjelaskan JDT didenda RM120,000 membabitkan tindakan penyokong Harimau Selatan menyalakan suar dalam tiga perlawanan Liga Malaysia (Liga M) 2023 di Stadium Sultan Ibrahim.

Bagi perlawanan Liga Super antara JDT dan Sabah pada 31 Mac lalu, JDT didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya membakar suar dalam anggaran sebanyak 10 unit dan didenda RM10,000 kerana kelab itu didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong.

Jumlah denda sama dikenakan ke atas JDT juga membabitkan tindakan penyokong membakar suar ketika perlawanan Liga Super menentang Kedah Darul Aman pada 9 April lalu dan aksi Piala FA menentang PDRM, 14 April lalu.

Bagi kes Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey, penyerang kebangsaan itu dihukum susulan kenyataan yang dikeluarkannya ketika temu bual media selepas berdepan Sabah, April lalu.

Mengikut keputusan, Faisal sebenarnya digantung empat bulan bermula 25 Julai hingga 21 November ini, namun dia hanya dikenakan penggantungan selama sebulan (25 Julai hingga 23 Ogos) yang mana penggantungan tiga bulan seterusnya ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada kelakukan baik selama 12 bulan bermula tarikh 24 Ogos 2023. – MalaysiaGazette