ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menjelaskan pihak Infineon Technologies AG (Infineon) di Kulim telah memaklumkan lebih awal untuk membuat pelaburan baharu pada tahun lepas.
Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Perikatan Nasional (PN) itu berkata, perkara itu diberitahu ketika beliau melawat kilang itu sekaligus merasmikan unit baharu syarikat Jerman itu.
Beliau berkata, Infineon juga ketika itu memohon tanah tambahan di belakang kilang sedia ada untuk tujuan pelaburan baru tersebut.
Muhammad Sanusi menambah, kerajaan negeri telah bersetuju meluluskan permohonan Infineon itu dan memajak tanah yang dipohon itu.
“Tahun 2022, saya pergi kilang Infineon di Kulim, kilang Jerman. Pergi tengok rancangan mereka untuk tambah pelaburan lagi RM25 bilion dan merasmikan satu unit baru di Infineon dan kita pun pakat letak tapak tangan.
“Dia (Infineon) sudah maklum hendak tambah pelaburan di Kulim dan minta tanah belakang kilang dia. Kita pun lulus dan pajak dekat dia lagi tanah di belakang itu.
“Tau-tau Datuk Seri Anwar Ibrahim kata baru meluluskan pelaburan Infineon. Tuan-tuan, main claim kerja orang cukup bijak. Semua dia kata dia buat. Tan Sri Muhyiddin (Yassin) hapus hutang Felda RM8.3, mai dia jadi perdana menteri dia kata dia buat.
“Semua rekod ada, tuan-tuan hendak bohong agak-agaklah. Buka mulut bohong,” katanya dalam satu ceramah yang disiarkan di Facebook.
Semalam, Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, pelaburan tambahan berjumlah lima bilion euro (RM25 bilionInfineon) di Kulim adalah hasil rundingan Kerajaan Perpaduan dengan pelabur dari Jerman.
Beliau berkata, keputusan itu dicapai setelah Kerajaan Kedah membuat rundingan selama 13 bulan namun gagal mencapai kata putus.
“Yang dia (Kerajaan Negeri Kedah) runding 13 bulan sudah, dia (pelabur Jerman) yang sebulan sudah dia mai runding dengan saya, bukan dengan mereka.
“Sebab apa dia runding dengan saya bukan sebab saya Anwar tapi sebab saya pemimpin Kerajaan Perpaduan dan kerajaan ini stabil,” dalam ucapannya sempena Ta’aruf Perpaduan, di Jitra malam tadi.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi turut menempelak Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang kecewa apabila pelaburan RM25 bilion itu dibawa ke Kedah.
Jelas beliau, Menteri Ekonomi itu sepatutnya tahu kilang Infineon itu sudah beroperasi di Kulim sejak 10 tahun lalu.
“Bab Infineon, Rafizi pun cakap di Negeri Sembilan, aku pun nak marah kat Anwar Ibrahim kenapa bawa Infineon pergi Kedah.
“Rafizi, ini nak beritahu Infineon dah ada di Kulim 10 tahun beroperasi dan sekarang ini hendak tambah sahaja pelaburan. Bukan pelaburan baharu, Menteri Ekonomi apa ni. Formula dia semua ke laut. Benda sudah ada dia kata baru nak mai,” katanya.
Untuk rekod, pada 7 Julai 2022 lalu, Muhammad Sanusi telah merasmikan Majlis Perletakan Batu Asas Kilang Infineon di Kulim Hi-Tech Park. – MalaysiaGazette