bantuan
Nurul Haidah Zulkifli (kiri) dan rakannya melihat dokumen aku janji Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan yang dilancarkan BN-PH yang berteraskan kepada 5 Tekad bagi mencapai Negeri Maju, Ekonomi Mampan Dan Rakyat Sejahtera di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini. Foto: Shahrin Zamzuri

SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menawarkan bantuan perkahwinan RM500 kepada setiap seorang anak Negeri Sembilan yang mendirikan rumah tangga kali pertama sekiranya Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bantuan tersebut merupakan salah satu inisiatif Skim Sejahtera Rakyat yang terkandung dalam dokumen aku janji Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan yang dilancarkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di sini, hari ini.

Menurut beliau, bantuan lain adalah caruman Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebanyak RM100 bagi kelahiran anak-anak Negeri Sembilan mulai tahun ini hingga 2027.

“Selain itu, kami turut menawarkan bantuan kemasukan ke sekolah berasrama penuh sebanyak RM300,” katanya ketika berucap melancarkan aku janji tersebut.

bantuan
Aminuddin Harun bercakap kepada pemberita selepas melancarkan aku janji Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan di Seremban, hari ini. Foto: Shahrin Zamzuri

Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan menambah, insentif untuk golongan siswazah termasuk bantuan khas kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) sebanyak RM1,000 bagi peringkat ijazah sarjana muda diikuti RM750 untuk diploma dan RM500 bagi sijil.

Beliau memberitahu, mereka yang menamatkan pengajian dengan keputusan ijazah kelas pertama di universiti awam layak menerima anugerah khas sebanyak RM5,000.

“Turut ditawarkan, sumbangan keceriaan tahunan sebanyak RM200 kepada ibu tunggal berpendapatan RM2,000 ke bawah serta RM200 bagi warga emas 70 tahun ke atas,” jelasnya.

Aminuddin berkata, bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, bantuan tabung makanan akan disalurkan kepada keluarga termiskin yang disenaraikan dalam sistem e-Kasih.

“Skim Sejahtera Rakyat yang akan diuruskan dan disampaikan melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mencakupi kehidupan rakyat sejak daripada awal kelahiran sehinggalah menjejak ke usia warga emas,” katanya. – MalaysiaGazette