Foto BN Comms Kedah.

SUNGAI PETANI – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri Rakyat (DUN) Tanjung Dawai, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menyuarakan rancangan untuk membina jambatan dari Pantai Merdeka ke Tanjung sebagai laluan kedua antara kedua-dua kawasan itu.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Kedah berkata, ini kerana pembinaan jambatan itu diyakini dapat meningkatkan taraf ekonomi di Tanjung dalam usaha merancakkan aktiviti sosial di sana.

Menurutnya, usaha itu juga mampu mengurangkan masalah sosial dalam kalangan anak muda seperti penyalahgunaan dadah, ketum dan sebagainya kerana banyak peluang pekerjaan akan ditawarkan kelak.

“Satu lagi impian saya bercadang membina sebuah jambatan menghubungkan Tanjung Dawai dan Pantai Merdeka. Jadi akan ada dua akses untuk ke Tanjung Dawai.

“Apa akan berlaku kepada Tanjung Dawai? Saya rasa taraf ekonomi orang di sini akan meningkat. Jadi ia akan menurunkan permasalahan sosial yang berlaku sekarang ini seperti penyalahgunaan dadah, ketum dan sebagainya,” katanya ketika ditemubual MalaysiaGazette di sini, baru-baru ini.

Foto BN Comms Kedah.

Shaiful Hazizy turut berjanji sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat pada 12 Ogos ini, beliau akan menoktahkan masalah air dengan segera di Tanjung Dawai.

Jelas beliau, ini kerana rakyat di kawasan itu telah berdepan masalah tersebut sejak tiga ke empat tahun lalu hingga ada menyebabkan berlakunya pergaduhan berebut bekalan air daripada tangki lori.

“Tidak masuk akal apabila 2023 ini rakyat terpaksa hadapi masalah ini. Benda ini terjadi sebab loji di Bukit Selambau yang peruntukkannya datang dari Kerajaan Pusat gagal disiapkan mengikut jadual.

“Benda ini di bawah seliaan kerajaan negeri dan saya dimaklumkan tidak siap disebabkan peningkatan kos kerana harga bahan binaan jadi semakin meningkat.

“Kerajaan negeri sebenarnya terpaksa minta bantuan tambahan baru. Dan saya yakin kerajaan negeri tidak ada duit nak menyiapkan loji tersebut dan dia kena minta peruntukan baru,” katanya.

Namun kata Shaiful Hazizy, sekiranya hubungan kerajaan negeri dan Pusat tidak sebulu dan bermasalah, agak sukar untuk mendapat peruntukan baharu daripada perdana menter.

“Kalau 12 Ogos ini tukar kerajaan negeri yang sama dengan kerajaan Pusat, hubungan kita akan jadi bertambah baik. Dan saya rasa peruntukan tambahan Perdana Menteri akan beri.

“Tapi kalaulah kerajaan negeri sekarang kekal dengan Menteri Besar yang sama, dengan dok maki hamun perdana menteri pagi petang siang malam, saya tak rasa benda itu mudah dapat diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, pada PRN 12 Ogos ini, Shaiful Hazizy akan berdepan satu lawan satu dengan calon PN yang juga penyandang, Hanif Ghazali.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) lalu, DUN Tanjung Dawai dimenangi oleh Hanif dari dengan 11,444 undi menewaskan calon PH, Annuar Abdul Hamid dan calon BN, Annuar Ahmad. – MalaysiaGazette

Foto BN Comms Kedah.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast