KLUANG – Meskipun kehidupan diuji dengan masalah kesihatan, ia tidak menghalang Nor Rahil Raihan Mohd Shahrul, 5, yang menghidap hidrosefalus merasai kehangatan jelajah Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 di Laman Kembara Paloh, di sini, hari ini.
Menurut ibunya, Aisyah Mohd Salleh, 34, mereka sekeluarga akan menyertai setiap kali KMJ diadakan namun kali ini mereka berempat, termasuk suami, Mohd Shahrul Hassan, 38, Nor Rahil dan seorang lagi anaknya ke Taman Ilham, di sini, di mana kembara tersebut berlangsung.
“Dua anak kami sudah meninggal dunia sebab masalah kesihatan yang sama, anak sulung, Nor Iman Shah meninggal dunia tahun lepas pada usia 13 tahun, adik dia pula, Nor Raihan Shah, meninggal dunia sebulan dilahirkan.
“Seorang lagi anak kami, Nor Izzue Islam, 8, bersekolah hari ini,” katanya ketika ditemui di lokasi ketiga persinggahan kedua jelajah KMJ 2023 edisi ke-23 di Laman Kembara Paloh.
Terdahulu, rombongan keluarga diraja Johor diketuai Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail tiba kira-kira pukul 10.50 pagi.
Sementara itu, seorang wanita yang menghidap angin ahmar, Mariana Marpok, 48, dari Felda Bukit Tongkak, di sini, ditemani suami, Mohamed Kamsin, 55, turut hadir melihat kerabat raja itu lebih dekat.
“Hari ini kami dapat tengok depan-depan, isteri sayalah yang minta nak jalan-jalan dan rasai KMJ kali ini, sebelum ini hanya tengok dekat televisyen. Alhamdulillah kami ditakdirkan dapat jumpa depan-depan secara dekat hari ini,” kata Mohamed.
Mariana yang sebelum ini bekerja sebagai tukang cuci diserang strok tiga tahun lalu akibat terjatuh di dalam bilik mandi ketika bersiap sedia untuk ke tempat kerjanya di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.
Selepas 30 minit meluangkan masa dengan penduduk di Paloh di sini, konvoi keluarga diraja itu meneruskan perjalanan ke lokasi ketiga di Taman Eko Rimba Sungai Bantang, Labis, Segamat. – MalaysiaGazette