Rafizi Ramli

BUTTERWORTH – UMNO, PKR mahupun DAP yang berada dalam Kerajaan Perpaduan memainkan peranan masing-masing dengan berkorban demi membina negara dan mensejahterahkan rakyat.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, dalam soal terbabit DAP membuat pengorbanan dengan mengisi empat jawatan menteri sahaja dalam kabinet biarpun telah memenangi kerusi paling banyak dalam Pilihan Raya Umum ke-15 November tahun lalu.

Antara perjanjian dalam Kerajaan Perpaduan ialah penyertaan dalam kerajaan mestilah berkadar langsung dengan jumlah ahli Parlimen.

“Tetapi untuk DAP, kita terpaksa menjelaskan dan memujuk mereka dalam perkara ini dan kemudian mereka telah menerima dengan rela hati demi meredakan (sentimen) perkauman sebab kita nak tumpukan kepada rakyat dan mengutamakan kepentingan negara.

“Maka DAP kena mengalah dalam hal ini supaya kuota mereka beralih kepada PKR,” kata beliau semasa ceramah Mega Malaysia Madani di Teluk Ayer Tawar di sini hari ini.

Tambahnya, setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan ada peranan masing-masing dalam membina negara.

“Tiada siapa hero, tiada siapa yang besar dalam parti kerajaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette