Saiful Yazan menyantuni pengundi Cina di Kampung Baru Dangi, Johol, Negeri Sembilan hari ini. Foto: Shahrin Zamzuri

KUALA PILAH – Tindakan beberapa ahli cawangan UMNO keluar parti tidak akan menjejaskan kekuatan jentera kempen calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol, Saiful Yazan Sulaiman.

Malah menurutnya, jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) di bawah semangat Kerajaan Perpaduan mampu meneruskan kerja keras untuk mengekalkan kemenangan BN di kerusi tradisinya itu yang tidak pernah tewas sebelum ini.

“Saya ada terbaca beberapa ahli cawangan UMNO di bahagian Kuala Pilah telah keluar parti menyertai parti lain.

“Ini tidak menjejaskan langsung pergerakan jentera di Kuala Pilah kerana mereka ini bukanlah orang yang penting di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) atau kawasan,” katanya.

Saiful Yazan Sulaiman

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada kempennya di Kampung Baru Dangi, Johol, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan beberapa pimpinan UUMNO peringkat cawangan di bahagian Kuala Pilah mengumumkan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN).

Sokongan itu dinyatakan secara terbuka oleh Naib Ketua Cawangan UMNO Kampung Cheriau, Mahadi Ishak dalam ceramah kempen pilihan raya di DUN Pilah, malam Sabtu lalu.

Mahadi menzahirkan sokongan itu bersama-sama dengan 12 orang lagi ahli cawangannya selain 20 lagi ahli cawangan Kampung Parit.

Sementara itu mengulas mengenai kempen pilihan rayanya, Saiful Yazan berkata, beliau tidak memandang rendah lawannya walaupun mempunyai kelebihan sebagai penyandang kerusi itu pada penggal lalu.

“Walaupun mungkin saya ada kelebihan sebagai penyandang, peti undi Dangi ini juga kawasan panas kerana saya kalah undi di sini pada PRU14 lalu.

“Jadi, kali ini saya mahu pastikan Dangi diberi perhatian terutamanya dari segi pembangunan, kemudahan asas, seperti jalan, dan mempunyai mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

“Sejak hari pertama kempen 29 Julai lalu, saya sudah melawat hampir semua penempatan dan cuma tinggal kira-kira baki 20 peratus lagi pengundi untuk disantuni sehingga Khamis ini sebelum hari mengundi pada Sabtu,” katanya.

Pada PRN 12 Ogos ini, Saiful Yazan akan ditentang calon PN, Kamarudin Md Tahir mewakili Pas.

Pada PRU14, Saiful menang DUN itu dengan majoriti 965 undi menewaskan calon PKR dan Pas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast