Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan kerana disyaki membakar dan merosakkan bendera dan sepanduk parti Pakatan Harapan (PH) di Taman Damai, Batu Arang, Selangor, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan lelaki berusia 50an itu dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

“Sebanyak 67 laporan telah diterima semalam dengan dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

“Manakala 65 laporan lagi diklasifikasikan NOD (No Offence Disclosed) iaitu laporan polis yang dibuat tidak ada apa-apa kesalahan dan tangkapan.

“Laporan polis ini dibuat oleh Pasukan Ops Cantas yang melakukan pemeriksaan Ops Cantas Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor di lokasi yang dijalankan pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 276 kempen berpermit diadakan semalam dengan tiga tanpa permit dan ceramah berpermit sebanyak 105.

“Semua calon hendaklah memastikan pemasangan bendera parti, kain rentang dan poster tidak diletakkan di pagar premis kerajaan serta rumah ibadat.

“Selain itu turut dinasihatkan tidak meletakkan di lampu isyarat dan simpang jalan yang boleh menghalang pandangan pengguna jalan raya,” jelasnya.

Beliau juga mengingatkan kepada semua calon dan penganjur untuk memastikan ceramah yang diadakan tidak menyentuh isu-isu sensitif dan fitnah.

“Di samping itu tidak menaik turun (isu-isu sensitif) dalam media sosial seperti aplikasi TikTok dan sebagainya yang boleh mendatangkan provokasi kepada parti lain yang boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” ujarnya, – MalaysiaGazette