MHO bersama mangsa pelaburan membuat laporan tambahan kepada JSJK berhubung penipuan skim ini di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) bersama lebih 150 mangsa penipuan telah menghantar maklumat tambahan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lebih terperinci terhadap dalang kepada satu skim pelaburan.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, penyerahan maklumat tambahan itu diharap dapat digunakan PDRM dalam melakukan siasatan itu di bawah Seksyen Kanun Keseksaan kerana menipu.

Menurutnya, sebelum ini sejak Mac lepas, beratus-ratus laporan telah dibuat mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul berhubung penipuan pelaburan itu.

Bagaimanapun, kata Hishamuddin, kesemua pengadu tidak mendapat apa-apa maklum balas atau perkembangan mengenai aduan yang dilakukan.

“Kita telah beberapa kali mendesak pihak polis untuk memberikan perkembangan lanjut terhadap aduan yang dibuat tetapi mereka klasifikasi kes berkenaan sebagai Rujuk Kepada Agensi Lain atau Refer to Other Agency (ROA).

“Kita juga tidak faham mengapa kes ini ROA. Mangsa-mangsa ini tidak berpuas hati, mengapa kertas siasatan itu diklasifikasi sebagai ROA sedangkan cukup jelas mereka telah ditipu oleh syarikat pelaburan berkenaan.

“Berikutan itu, kita hadir ramai-ramai untuk memberikan lagi maklumat tambahan mengenai syarikat-syarikat yang telah menipu ini bagi siasatan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah dibuat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 415 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pertemuan itu juga, pihak MHO dan pengadu telah menyerahkan 500 laporan beserta penyata tambahan daripada mangsa-mangsa diserahkan wakil JSJK, Asisten Komisioner Ahmad Azizul Mohamed untuk tindakan susulan.

Hishamuddin berkata, aduan juga telah dilakukan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebaik laporan polis dibuat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast