Ahli perniagaan didakwa dera isteri sehingga mati sebelum menghantar mayat wanita itu ke hospital.

KUALA LUMPUR – Polis menyambung reman ke atas seorang ahli perniagaan yang ditahan kerana disyaki mendera isteri sehingga mati sebelum membawa mayat mangsa ke hospital.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, suspek yang dibawa ke mahkamah selepas tempoh remannya berakhir pada hari ini, telah dibenarkan reman disambung selama lima hari.

“Permohonan sambung reman itu bagi melengkapkan siasatan,” katanya, hari ini.

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan seorang lelaki diburu kerana disyaki memukul isterinya dengan objek tumpul sehingga meninggal dunia di sebuah pangsapuri di Sungai Long pada 21 Julai lalu.

Susulan kejadian itu, mangsa yang lebam di seluruh anggota badan dan tidak sedarkan diri telah dihantar suspek ke hospital swasta sebelum melarikan diri.

Pada 31 Julai lalu, suspek ditahan polis ketika menyembunyikan diri di Johor dan direman selama tujuh hari.

Mohd Zaid berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati jika disabit kesalahan. – MalaysiaGazette