manifesto PN
Aminuddin Harun (paling kanan) melihat proses pengundian awal di Balai Polis Sikamat, Seremban, hari ini. - Foto: Shahrin Zamzuri

SEREMBAN – Manifesto yang diumumkan Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini disifatkan sebagai mengulang semula aku janji yang dibuat parti-parti lain sebelum ini.

Sehubungan itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menasihatkan mereka agar membuat manifesto baharu yang lebih baik dan menarik.

“Saya rasa apa yang telah kita nyatakan itu diulang balik dan saya rasa perlu ada yang baharu,” katanya kepada pemberita selepas melihat proses pengundian awal di Balai Polis Sikamat di sini, hari ini.

pengundian awal
Antara pegawai dan anggota polis yang mengundi awal di Balai Polis Sikamat, Seremban, hari ini. – Foto: Shahrin Zamzuri

Dalam manifesto yang diumumkan pada 5 Ogos lalu, PN menyatakan lapan tawaran termasuk memacu daya tahan ekonomi, menangani kos sara hidup dan melestari masa depan belia.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan yakin sokongan rakyat khususnya pengundi Melayu terhadap PH dan Barisan Nasional (BN) kini menunjukkan peningkatan berbanding April lalu.

Penyandang kerusi DUN Sikamat itu memberitahu, maklumat yang diperolehi daripada kaji selidik yang dijalankan setakat kelmarin menunjukkan lebih 50 peratus pengundi Melayu menyokong PH dan BN.

“Sokongan Melayu itu nampak peningkatan yang baik mungkin atas sebab makluman dan juga apa yang kita lakukan, penerangan-penerangan yang kita lakukan.

“Jadi insya-Allah saya yakin bahawa orang Melayu akan bersama PH dan BN, Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Aminuddin berkata, PH dan BN tetap memberi tumpuan kepada pengundi Cina dan India yang jumlahnya agak ramai di Negeri Sembilan.

Seramai 173 pegawai dan anggota polis serta pasangan yang merupakan pemilih dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat mengundi awal di Balai Polis Sikamat.

Secara keseluruhan, seramai 26,079 anggota polis dan tentera yang bertugas di Negeri Sembilan serta pasangan layak mengundi awal hari ini. – MalaysiaGazette