GOPENG – Seorang pengasas sekolah pondok merayu pihak berkuasa membebaskan anak angkatnya dari Depot Tahanan Imigresen (DTI) Langkap selepas ditahan kerana didakwa tidak memiliki kad pengenalan (MyKad)  dalam satu operasi pihak berkuasa, empat tahun lalu.

Mohamad Tarudi Bahari, 68, pengasas Pondok Al-Jaafar Gua Tempurung, berkata anak muridnya itu R. Tayalan atau nama Islamnya Mohd Farid, 28, mempunyai dokumen pengesahan dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang menyatakan anak angkatnya itu adalah warganegara Malaysia.

Katanya, Mohd Farid, yang memeluk Islam sejak berusia 12 tahun, dihantar ke Pondok Al-Jaafar ketika berusia 17 tahun.

“Pada tahun 2019, saya hanya mengetahui ‘kehilangan’ Mohd Farid apabila dia menelefon saya dari dalam tahanan, sebelum itu dia keluar bekerja di bengkel membaiki kereta di Klebang, Ipoh. Apabila gagal mengemukakan kad pengenalan ketika disoal pihak berkuasa, dia diserahkan kepada Jabatan Imigresen sebelum dihantar ke Langkap (DTI),” katanya pada sidang media, di sini. hari ini.

Menceritakan kenapa Mohd Farid tidak memiliki kad pengenalan, Mohamad Tarudi berkata, ketika  di hantar ke Pondok Al-Jaafar, remaja itu hanya didaftarkan menggunakan sijil kelahiran sahaja dan pernah memohon mendapatkan kad pengenalan namun gagal kerana ketiadaan nombor kad pengenalan ibunya pada dokumen itu dan diisytihar tidak lengkap maklumat diri.

Memperincikan lanjut, Mohamad Tarudi berkata usaha untuk membuat kad pengenalan sentiasa dilakukan termasuk menjejak ayah kandung Mohd Farid, R Ramachandran, yang menjalani hukuman penjara, sebelum berjaya mengemukakan permohonan tambahan data dalam sijil kelahiran Mohd Farid termasuk maklumat ibunya.

“Kami telah pergi ke JPN di Putrajaya pada 14 Jun lalu bersama surat akuan bersumpah termasuk ibu kandungannya hanya untuk memasukkan data baharu iaitu nombor kad pengenalan ke dalam sijil kelahiran Mohd Farid.

“Sistem JPN sendiri mengesahkan butiran kelahiran Mohd Farid di Hospital Besar Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor, namun pertambahan data dan sijil kelahiran baharu hanya akan diperoleh pada penghujung September kelak,” katanya.

Katanya, pegawai JPN turut mengesahkan pendua yang dikeluarkan JPN juga boleh mengesahkan status Mohd Farid dan boleh dikeluarkan daripada tahanan.

“Ayah kandungannya bawa pendua terbabit untuk diserahkan kepada pegawai imigresen pada 15 Jun lalu namun mereka nyatakan perlukan sijil kelahiran yang asli sahaja.

“Saya pula pergi ke depot tahanan pada 25 Julai lalu membawa isu yang sama namun jawapan yang diterima tetap mahukan yang asli walaupun pendua yang menyatakan Mohd Farid sedang menunggu sijil kelahiran baharu akan siap September nanti,” katanya.

Sehubungan itu Mohd Tarudi berharap Mohd Farid boleh dibebaskan lebih awal kerana telah mempunyai pengesahan dokumen sebagai warganegara Malaysia tanpa menunggu sijil kelahiran aslinya siap.

“Saya pun tak pasti salah siapa dalam hal ini namun permulaannya bermula pada sijil kelahiran, bagaimana boleh dikeluarkan sijil kelahiran tanpa mengisi butiran ibu.

“Mungkin ada kesilapan yang tidak disengajakan, namun ia memberi kesan kepada Mohd Farid dan saya harap perkara ini dapat diselesaikan segera oleh pihak berkaitan,” katanya.

— BERNAMA