Nik Nazmi (dua dari kanan) bersama pengurusan Madrasah Ihya Ulumuddin Pasir Puteh membuka paip air yang berjaya diselesaikan kementeriannya dalam tempoh sebulan.

PASIR PUTEH – Masalah air bersih yang dihadapi penghuni Madrasah Ihya Ulumuddin dekat sini, berjaya diatasi dengan usahasama dua agensi bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Perkara itu dimaklumkan menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad selepas meneruma aduan daripada penghuni madrasah mengenai masalah itu ketika lawatannya ke Kelantan empat bulan lalu.

Menurut beliau, masalah itu diselesaikan dengan usahasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang berupaya membekalkan kira-kira 100,000 air sehari untuk kegunaan madrasah berkenaan.

“Sekarang mereka tidak lagi berdepan sama ada masalah bekalan air bersih atau air kotor. Kementerian saya selesaikan masalah ini dalam tempoh singkat selepas saya melawat madrasah ini empat bulan lalu.

“Semalam, saya telah serahkan projek khidmat masyarakat pembekalan air terawat serta pemasangan pili cekap air di sana,” katanya menerusi akaun Twitternya semalam.

Menurut Nik Nazmi, projek itu mengambil masa 23 hari untuk siap melalui penjajaran paip sepanjang 800 meter milik Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) ke madrasah berkenaan.

Madrasah itu sebelum ini mendapat bekalan air dari sumber air gali (boring), namun berhadapan masalah berlanjutan dari aspek kuantiti, kualiti dan bau.

“Dengan siapnya projek ini, seramai 140 warga Madrasah Ihya Ulumuddin yang terdiri daripada pelajar, warga emas dan tenaga pengajar akan menerima manfaat ini secara berterusan,” katanya. – MalaysiaGazette