ALOR SETAR – Kerajaan hanya syok sendiri apabila mengatakan sokongan rakyat terhadap gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) ketika ini jauh lebih baik berbanding tahun lalu.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tiada asas yang menyokong kenyataan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
Malah, kata beliau, kenyataan itu juga menjadi bahan jenaka di laman sosial oleh netizen.
“Tak ada asas, dia seronok sendiri sahaja. Saya baca di media sosial, ruang komen banyak emoji gelak sahaja. Jangan ditertawakan begitu, memalukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir pada Program Mai Sat Bersama Menteri Besar Kedah di Taman Tunku Yaakob di Alor Setar hari ini.
Turut hadir calon Dewan Undangan Negeri Alor Mengkudu, Radhi Mat Din.
Anwar hari jni meluahkan keyakinan sokongan rakyat terhadap gabungan PH -BN ketika ini jauh lebih baik berbanding tahun lalu.
Beliau yang juga Pengerusi PH berkata, rakyat bijak menilai kesahihan berhubung fitnah yang dilemparkan pembangkang kepadanya.
Justeru, beliau yakin Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri, Sabtu ini akan membawa kemenangan besar kepada gabungan itu. – MalaysiaGazette
















