SUNGAI BESAR – Lebih 200 pegawai dan anggota polis dari Daerah Sabak Bernam keluar mengundi awal pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRU15) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, di sini, sejak jam 8 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, jumlah keluar mengundi itu mencecah lebih 50 peratus dari 373 pengundi awal yang layak setakat jam 10 pagi tadi.

“Semua anggota dan pegawai terlibat dalam proses undi awal telah datang seawal 8 pagi sejak pusat mengundi awal ini dibuka.

“Sehingga jam 10 pagi tadi, kehadiran pegawai dan anggota polis yang hadir hampir 200 orang.

“Semua petugas yang hadir dan anggota yang sedang bertugas kita akan buat secara bergilir-gilir untuk keluar mengundi,” katanya ketika ditemui di IPD Sabak Bernam, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias (dua kiri) menunjukkan jari dengan kesan dakwat hitam selepas menunaikan tanggungjawab mengundi awal Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) di pusat mengundi awal di IPD Sabak Bernam, Sungai Besar, pagi ini.
Foto: NIZAM ZAIN

Agus Salim juga menjangkakan pusat mengundi awal bagi anggota keselamatan itu di IPD Sabak Bernam akan ditutup lebih awal susulan kehadiran keluar mengundi yang tinggi sejak dibuka awal pagi tadi.

“Kalau ikut undi lepas, proses undi awal ini biasanya kita dalam jam 2 petang semua pegawai anggota sudah habis keluar mengundi.

“Ini termasuk anggota yang bertukar dan lokalitinya tak sempat bertukar di tempat lain, jadi mereka datang.

“Pagi tadi ada beberapa orang pegawai dan anggota yang masih lagi berdaftar sebagai pengundi awal.

“Ada anggota kita yang baru bersara pun masih datang sebagai pengundi awal di sini,” katanya.

Ditanya tentang jumlah pengundi awal dalam PRN15, Agus Salim berkata, tiada pertambahan ketara berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), November tahun lalu.

“Jumlah pengundi awal anggota kita di sini berbanding PRU15 lepas tak banyak berubah, tak ada perbezaan sangat

“Sebab jangka masa PRU lepas dengan PRN ini baru beberapa bulan saja, sikit sahaja,” katanya.

Bagi memastikan proses pengundi awal berjalan lancar, Agus Salim menasihati semua pegawai dan anggota agar keluar awal menunaikan tanggungjawab mereka.

“Saya nasihatkan datanglah seawal mungkin dan datang dengan kad pengenalan diri pastikan bawa untuk memudahkan proses undi ini,” katanya.

Menjelang hari mengundi sebenar pada Sabtu ini, Agus Salim turut menasihatkan orang ramai agar merancang lebih awal untuk keluar mengundi susulan faktor cuaca yang tidak menentu.

“Saya juga berpesan kepada semua rakyat Malaysia terutamanya penduduk di Daerah Sabak Bernam pada hari undi sebenar agar mereka keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia

“Kita mendokong kepada demokrasi kerajaan berperlembagaan dan minta mereka hadir seawal pagi untuk menunaikan tanggungjawab

“Kita tengok pada masa ini cuaca tidak menentu terutama musim panas. Kalau keluar awal itu boleh mengelakkan apa-apa masalah nanti,” katanya. – MalaysiaGazette