Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh.

ALOR SETAR – Polis Kedah mengesahkan menerima empat laporan semalam berhubung kenyataan yang dikeluarkan dalam ceramah oleh seorang Ahli Parlimen negeri ini ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan di Sungai Petani, baru-baru ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kenyataan itu telah dimuatnaik sebagai satu artikel melalui apllikasi media sosial facebook yang dilihat sebagai suatu fitnah.

Jelas beliau, ia juga mengelirukan dengan niat mendatangkan khianat awam yang boleh menggugat ketenteraman awam dan negara yang mana mengait keselamatan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md nor.

“Ekoran daripada laporan polis yang dibuat, siasatan telah dijalankan di bawah seksven 505(b) Kanun Keseksaan dan seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau Kedua-duanya.

“Pihak polis telah mengenal pasti dan akan memanggil beberapa orang saksi untuk tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan termasuk Ahli Parlimen hari ini,” kata ketika ditemui media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.

Malam Ahad lalu, Ahli Parlimen Alor Setar merangkap Timbalan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden sebelum menamatkan ucapannya ketika berkempen memberitahu, beliau baru sahaja mendapat satu berita yang menyedihkan kepada orang ramai yang hadir.

“Pagi tadi menteri besar kita bermesyuarat di Kuala Lumpur, mesyuarat penting (Pas Pusat). Dalam mesyuarat dibincangkan perkara besar.

“Oleh itu dinasihat beliau tidak meneruskan ceramah beliau pada malam ini kerana perangkap-perangkap yang sedang dipasang oleh musuh dan jika kita masuk perangkap itu akan dipegang (tangkap) dan buat sesuatu yang tak disangka.

“Jadi kita kena bersedia dengan sebarang kemungkinan. Sehari dua ini akan berlaku benda yang dahsyat dan bersedia jaga kubu dan kemenangan nanti Tuhan yang bagi,” katanya pada peramah Mega Perikatan Nasional Bersama MB Kedah di Taman Ria, Sungai Petani.

Namun semalam, Muhammad Sanusi menjelaskan beliau tidak dapat hadir ke ceramah itu kerana berada di Kuala Lumpur atas urusan mesyuarat dan dinasihatkan tidak bergegas pulang atas faktor keselamatan di jalan raya.

Mengulas lanjut, Fisol menasihati orang ramai yang berkempen dalam musim pilihan raya ini supaya tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi schingga menimbulkan kegugaran dan menggugat ketenteraman awam.

Menurut beliau, mereka yang ingkar dan mencabar kedaulatan undang-undang negara akan diambil tindakan. – MalaysiaGazette