Shahrulufti Sharif

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menuntut Pejabat Peguam Negara memberi penjelasan secara komprehensif mengenai pertukaran Timbalan Pendakwa Raya Utama dalam kes rasuah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua penerangannya, Shahrulufti Sharif berkata, ia penting bagi memastikan integriti dan ketelusan dalam tadbir urus perundangan tidak boleh diremehkan.

Katanya, rakyat mengikut dari awal perbicaraan kes Timbalan Perdana Menteri yang kini hampir tamat tetapi tiba-tiba berlaku pertukaran Timbalan Pendakwa Raya Utama, Datuk Raja Rozela Raja Toran.

“Kita minta Pejabat Peguam Negara dipanggil untuk mengemukakan semakan menyeluruh mengenai hal ini termasuk mempertimbangkan peranan penting Raja Rozela.

“Tindakan ini secara tidak langsung menimbulkan pelbagai spekulasi dan rakyat akan mempersoalkan integriti Pejabat Peguam Negara.

“Komitmen kerajaan mempromosikan ketelusan, keadilan dan memerangi rasuah perlu diperlihatkan secara konsisten kerana integriti dan akauntabiliti adalah nilai penting dalam tadbir urus yang baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan media mengenai Raja Rozela yang mengetuai pasukan pendakwaan bagi 47 pertuduhan dana Yayasan Akal Budi melibatkan Ahmad Zahid telah digugurkan daripada kes itu minggu lepas.

Difahamkan, Timbalan Pendakwa Raya Utama itu digugurkan tanpa sebarang pengumuman rasmi.

Raja Rozela yang dihubungi media dilaporkan berkata, sebagai penjawat awam beliau tidak boleh mengeluarkan kenyataan berhubung perkara tersebut.

Beliau mengetuai kes Ahmad Zahid yang sedang berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah, lapan berhubung rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Menurut Shahrulufti, menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan kepercayaan awam dalam kemampuannya untuk mengendalikan urusan penting dan membuat keputusan terbaik kepada rakyat.

Kata beliau, pematuhan konsisten terhadap prinsip penting seperti ketelusan, kedaulatan undang-undang dan memerangi rasuah adalah langkah penting dalam membangun dan mempertahankan kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan.

“Jika timbul kebimbangan atau pertanyaan dari masyarakat, tanggungjawab pihak berkuasa adalah untuk menangani isu tersebut dengan jujur dan terbuka di samping memberikan maklumat yang diperlukan serta mengambil tindakan bagi memperkuatkan integriti dan akauntabiliti,” ujarnya.

Oleh itu, katanya, penting bagi rakyat untuk memantau dengan teliti tindakan kerajaan serta menilai tahap ketelusan, akauntabiliti dan pematuhan mereka terhadap prinsip tadbir urus yang baik. – MalaysiaGazette