Ramasamy Ponnusamy dibawa oleh pegawai polis selepas dijatuhkan hukuman penjara sebulan dan didenda RM3,000 kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada sebuah kenderaan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) ketika di Mahkamah Majistret, Kuala Kubu Bharu. Foto MOHD ADZLAN, 06 MEI 2024.

KUALA KUBU BAHARU – Mahkamah Kuala Kubu Baharu menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM3,000 terhadap seorang lelaki selepas didapati bersalah mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada sebuah kenderaan dalam kempen Pillihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).

Majistret, Siti Fatimah Talib yang membuat keputusan itu ke atas Ramasamy Ponnusamy atas pertuduhan mengikut Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana mengembangkan niat jahat.

“Kamu dijatuhkan hukumnan penjara sebulan dan denda RM3,000 dan penjara 10 bulan sekiranya tidak dapat membayar denda,” kata  Majistret.

Tertuduh sebelum itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret.

“Saya mohon maaf, saya tidak tahu (perbuatan pamer gambar Sultan Ibrahim) boleh dilakukan atau tidak.

“Saya tidak ada niat, cuma buat ikut minat dan kerja saya sahaja,” kata tertuduh.

Polis sebelum ini mengesahkan penahanan dua individu kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong pada sebuah kenderaan dalam kempen PRK Kuala Kubu Baharu, Ahad lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, kedua-dua individu yang berusia 66 tahun akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu mengikut Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana mengembangkan niat jahat. – MalaysiaGazette