Ahmad Shabuddin (kanan) pada majlis pelancaran laluan bas T310 dari Jalan Universiti Padang Kawad Universiti Sains Malaysia (USM) menuju ke Bukit Jambul dan Queensbay.

GEORGE TOWN – Rapid Penang memperkenalkan perkhidmatan bas henti-henti T310 yang bermula dari Jalan Universiti Padang Kawad Universiti Sains Malaysia (USM) menuju ke Bukit Jambul dan Queensbay.

Ketua Wilayah Utara, Rapid Bus Sdn. Bhd., Ahmad Shabuddin Abdullah berkata, perkhidmatan itu meliputi jarak perjalanan hampir 15 kilometer dan merangkumi 35 hentian dengan kekerapan setiap 20 minit pada waktu puncak dan 30 minit pada waktu bukan puncak.

Jelas beliau, laluan T310 ini merupakan laluan baharu yang bertujuan memudahkan pergerakan para pelajar USM dari kampus ke destinasi-destinasi terpilih khususnya Hub Bukit Jambul untuk meneruskan perjalanan ke laluan-laluan bas lain yang sedia ada.

“Kita telah buat laluan percubaan bermula 2 Mei lalu dan ia akan dilaksanakan selama tiga bulan sehingga 31 Julai depan.

“Perkhidmatan ini adalah sebahagian daripada inisiatif menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan warga Pulau Pinang dan kita harap para pelajar USM dapat memanfaatkannya,” katanya hari ini.

Antara tempat yang menjadi tumpuan para pelajar USM adalah Terminal Ekspres Sungai Nibong, Kompleks Bukit Jambul dan Queensbay Mall.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed merakamkan penghargaan kepada Rapid Penang dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas persetujuan mewujudkan laluan baharu Bas Rapid Penang T310 hasil daripada cadangan inisiatif bersama dalam mewujudkan laluan khas perkhidmatan bas Rapid Penang di USM.

“Laluan baharu ini akan membuka lembaran dalam perkhidmatan pengangkutan awam di Pulau Pinang dan memberi kemudahan secara khusus kepada mahasiswa serta warga USM dan juga penduduk setempat.

“Ini selari dengan fokus USM dalam memperkasakan urusan kebajikan, komuniti dan kelestarian berkaitan pelbagai aspek, termasuk aspek ekonomi di Pulau Pinang,” katanya. – MalaysiaGazette