Wan Zulaikha Anua hadir di Kem Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih bagi meninjau perjalanan undi awal.

SEMENYIH – Calon Barisan Nasional (BN), bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Wan Zulaikha Anua melahirkan rasa teruja selepas melihat proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang berlangsung hari ini.

Ketika ditemui MalaysiaGazette di pusat pengundian awal di Kem Batalion 4, Pasukan Gerakan Am Semenyih di sini, Wan Zulaikha yang mesra dengan panggilan Kak Wan berkata, beliau bersyukur kerana proses demokrasi dapat dijalankan dengan lancar setakat ini.

Katanya, beliau berharap keadaan seperti itu akan berterusan sehingga petang seterusnya pada hari pengundian pada Sabtu ini.

“Alhamdulillah, proses pembungan undi saya lihat berjalan dengan baik. Terima kasih kepada pasukan petugas yang telah memantau perjalanan proses pendemokrasian
ini dengan baik sekali,” katanya yang tiba pukul 10.28 pagi di pusat pengundian di Dewan Serbaguna di sini.

Wan Zulaikha berharap agar semua yang terlibat dengan undi awal dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing dan menyeru agar mereka keluar awal bagi mengelak kedaan cuaca yang mungkin tidak mengizinkan pada sebelah petang.

Katanya, ini merupakan peluang buat mereka dalam menentukan nasib dan masa depan yang lebih baik dan disebabkan itu ia tidak wajar untuk disia-siakan.

Ditanya mengenai faktor kesihatannya selepas mengalami batuk dan selsema semalam, Wan Zulaikha berkata, keadaannya hari ini bertambah baik selepas beliau mendapat rehat secukupnya pada hari semalam.

Ujarnya, beliau turut menjaga kebersihan diri dan memakan ubatagar kesihatannya kembali seperti sediakan kala bagi meneruskan kempennya.

Sementara itu, pencabarnya yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN), Nusi Mahfodz ketika ditemui berkata, beliau tenang dengan situasi di pusat pengundian awal di beberapa tempat apabila melihat keadaan ceria pengundi-pengundi yang terdiri dalam kalangan tentera dan pasukan polis.

Calon Perikatan Nasional (PN) N.24 Semenyih, Nushi Mahfodz melawat ke pusat pengundian awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor ke-15 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 08 OGOS 2023.

Katanya, beliau memberi kepercayaan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengendalikan proses pengundian awal itu dengan langkah yang sistematik.

“Alhamdullillah saya tengok ia (undi) berjalan dengan teratur dan lancar. Saya juga suka tengok masing-masing ceria, happy-happy, tenang-tenang walaupun mereka juga sebenarnya menjalankan tugas,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast