KUALA LUMPUR – Skuad hoki lelaki kebangsaan berjaya menewaskan pasukan Korea Selatan dengan keputusan 1-0, pada aksi pelengkap liga sepusingan Kejohanan Trofi Juara-juara Asia (ACT) 2023, di Chennai, India malam ini.
Dalam aksi berlangsung di Stadium Mayor Radhakrishnan itu, jaringan padang dihasilkan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-22, menjadi pemisah kedua-dua pasukan sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga buat Malaysia.
Kemenangan itu kembali melonjakkan skuad negara ke tangga teratas mengumpul 12 mata, biarpun telah mengesahkan slot ke pusingan separuh akhir ACT lebih awal, pada Isnin lepas.
Bagaimanapun kedudukan tersebut mungkin berubah sekiranya pasukan India yang kini berada di tangga kedua (10 mata), berjaya menewaskan pasukan di tangga ketiga Pakistan (5 mata) pada satu lagi aksi pelengkap liga sepusingan ACT.
Hanya empat pasukan terbaik, layak ke separuh akhir saingan ACT itu.
Speedy Tigers memulakan kempen ACT 2023 dengan menumpaskan Pakistan 3-1 Khamis lepas, diikuti kemenangan 5-1 ke atas China, kemudian tewas kepada India 0-5, sebelum bangkit mencatat kemenangan ke atas Jepun 3-1.
Pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan ACT adalah meraih tempat ketiga sebanyak lima kali, iaitu pada edisi 2011, 2012, 2013, 2016 dan 2018. – Bernama