Azam Baki.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka memanggil individu penting bagi membantu siasatan rasuah dan salah guna kuasa dalam perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, tindakan itu akan dibuat selepas pihaknya memperoleh petunjuk baharu, namun siasatan terperinci masih dijalankan pegawai penyiasat.

Katanya, proses merakam percakapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ditangguhkan dan tindakan akan dilakukan berdasarkan hasil siasatan pegawainya.

“Kes (REE) itu masih dalam siasatan pegawai penyiasat saya. Ia ditangguhkan (ambil keterangan) kerana kita sedang melihat jika ada keterangan-keterangan baharu diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 27 Bil 2/2022, di sini, hari ini.

Sebelum ini MalaysiaGazette melaporkan, SPRM menahan seorang Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Diperbadankan (MBI) dan seorang wanita berjawatan pengarah syarikat.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung kesalahan rasuah dan salah guna kuasa dalam sektor perlombongan REE dengan jumlah rasuah melebihi RM13 juta.

Sumber mendakwa, aktiviti perlombongan dijalankan secara haram oleh sebuah syarikat yang mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa tertentu sejak 2020.

Hasil siasatan yang dijalankan SPRM mengesan beberapa pembayaran disyaki melibatkan rasuah berjumlah lebih RM13 juta yang diberikan syarikat terlibat.

Dalam pada itu, seramai 12 individu melibatkan pegawai MBI Kedah dan syarikat swasta yang terlibat dalam perlombongan REE itu dipanggil untuk dirakam percakapan. – MalaysiaGazette