KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan peruntukan bagi inisiatif dan latihan peningkatan kemahiran kepada golongan penghantar perkhidmatan parcel hailing (p-hailing) yang diterajui Kementerian Sumber Manusia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesemua syarikat pengendali memberikan komitmen untuk lebih telus dalam mengira dan menentukan upah golongan penghantar mereka.
Katanya, ia termasuk meneliti dan memperhalusi lebih lanjut pandangan daripada pihak penghantar berhubung penentuan dan pengiraan kadar upah.
“Penelitian lanjut ini penting bahawa dalam menambah baik kadar upah penghantar, kepentingan pengguna khususnya di kawasan luar bandar harus kekal diutamakan agar tidak terbeban di samping turut mengambil kira keupayaan syarikat.
“Ikhtiar ini membuktikan kerajaan peka dan mengambil berat kepentingan semua pihak dalam meningkatkan penjanaan pendapatan rakyat dan memastikan kesinambungan perniagaan,” katanya dalam kenyataan.
Perdana Menteri berkata, beliau telah mengadakan perjumpaan dengan 24 syarikat p-hailing susulan komitmen beliau semasa perjumpaan bersama rakan-rakan penghantar pada 22 Julai lalu. – MalaysiaGazette