Kumpulan pop rock Britain, The 1975.

KUALA LUMPUR – Penganjur Festival Good Vibes (FGV) 2023, Future Sound Asia (FSA) menuntut ganti rugi sebanyak RM12.3 juta daripada kumpulan pop rock Britain, The 1975 susulan pembatalan acara muzik di Sepang bulan lalu.

Peguam mewakili FSA dari Tetuan Steven Thiru & Sudhar, David Mathew berkata, surat tuntutan sudah dikeluarkan pada 7 Ogos lalu dan mereka akan dihadapkan ke mahkamah sivil di United Kingdom sekiranya tidak mematuhi tuntutan penganjur.

“Dalam surat itu, FSA telah menuntut The 1975 mengakui liabiliti mereka dan membayar jumlah £2,099,154.54 (RM12,347,967.91) dalam tempoh tujuh hari.

“Surat tuntutan ditulis mengikut peruntukan Tatalaku dan Protokol Pra-Tindakan Arahan Amalan Inggeris yang merupakan sebahagian daripada Peraturan Tatacara Sivil Inggeris,” katanya dalam kenyataan.

Selain Healy, band yang ditubuhkan pada 2012 itu turut dibarisi Adam Hann selaku pemain gitar, Ross MacDonald (bes) dan George Daniel (dram).

Menurut Dinesh lagi, pihak agensi kumpulan tersebut telah menerima surat berkenaan apabila menyerahkan salinan kepada peguam mereka.

Terdahulu aksi biadab Healy yang selamba berkucupan dengan MacDonalds di pentas FGV, selain menghina undang-undang Malaysia berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mengakibatkan festival tiga hari itu dibatalkan serta merta.

Insiden yang dicetuskan pada 21 Julai lalu itu meraih perhatian umum kerana menjejaskan keseluruhan acara yang telah berlangsung untuk tahun ke-10, sekali gus menjadi perdebatan dalam kalangan masyarakat luar negara. – MalaysiaGazette