P. Ramasamy.-Foto AFFAN FAUZI, 21 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy memberi tempoh 24 jam kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke untuk menarik dakwaan yang disifatkan sebagai fitnah.

Bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu berkata, dakwaan Anthony bahawa beliau ‘tidak ikhlas’, ‘menunggang DAP untuk jawatan’, ‘pembohong’ dan ‘mereka hanya pergi menumpang parti untuk jawatan’ adalah kenyataan fithan dan tidak wajar.

Katanya, Anthony telah mengeluarkan kenyataan terbabit tanpa menyemak fakta mengenai kandungan sidang akhbar beliau hari ini.

Dakwaan itu telah menimbulkan persangkaan serius mengenai sebab beliau meninggalkan DAP.

“Saya telah memutuskan untuk menyerahkan laporan dan artikel yang mengandungi kenyataan dan kenyataan yang menyinggung perasaan kepada peguam saya untuk prosiding undang-undang terhadap Loke.

“Melainkan fitnah terhadap saya ditarik balik tanpa syarat oleh Loke dalam masa 24 jam, saya mungkin terpaksa memulakan tindakan sivil terhadapnya,” katanya dalam kenyataan.

Media hari ini melaporkan, Anthony mendakwa Ramasamy tidak ikhlas untuk keluar parti.

Laporan turut menyebut Setiausaha Agung DAP itu turut mendakwa Ramasamy menggunakan parti untuk mengejar jawatan parti dan kerajaan.

“Dalam laporan lain, dia berkata saya berbohong kerana tidak berjumpa dengannya pada 25 Julai 2023.

“Malah dalam sidang media di Perai 10 Ogos 2023, saya tidak pernah mengatakan bahawa saya tidak bertemu dengannya bersama Nga Kor Ming pada 25 Julai 2023 di Ibu Pejabat DAP Pulau Pinang.

“Saya bertemu mereka dengan penyandang ketua menteri Chow Kon Yeow. Mereka hanya menyampaikan keputusan bahawa saya akan digugurkan sebagai calon untuk pilihan raya negeri Pulau Pinang,” kata Ramasamy dalam kenyataan.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu mengumumkan keluar DAP hari ini dan turut meletakkan semua jawatannya dalam parti.

Beliau berkata, telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai ahli DAP dan Pengerusi DAP Cawangan, Chai Leng Park kepada Anthony pada jam 8.24 pagi.

Selain itu, beliau turut menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang kepada Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Katanya, alasan beliau mengambil keputusan meninggalkan DAP adalah kerana parti itu tidak menghargai perbezaan pendapat selain tiada sikap keterbukaan daripada dalaman parti. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. DAP sedar berapa kerat je warna tu… dalam MIC 100%. mungkin DAP juga “menghidu” ZAHID HAMIDI juga akan membawa 100% menjadi ahli. tidak mungkin UMNO masuk PKR apalagi PAN kerana disitu amat ramai yang sewaktu dengannya…

Comments are closed.