Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin menghadiri Forum Presiden Universiti Dunia (WUPF) yang berlangsung di Beijing, China, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merupakan satu-satunya wakil institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dari Malaysia adalah menerusi penyertaan Forum Presiden Universiti Dunia (WUPF) yang berlangsung di China baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin yang menghadiri forum di Beijing itu berkata, ruang berkenaan menjadi medan buat pihaknya menyerlahkan lagi TVET pada peringkat antarabangsa secara umumnya dan spesifiknya di negara China.

Katanya, pada masa yang sama beliau turut mengikuti sesi jemputan khas interaksi bersama Menteri Pendidikan, Republik Rakyat China, Huai Jinpeng, dalam satu majlis tertutup di Beijing.

“Menerusi ruangan tersebut UTeM berpeluang memperkenalkan program pendidikan TVET yang ditawarkan UTeM dan membuka peluang kepada pelajar Republik Rakyat China menyambung pengajian TVET aras tinggi di sini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Kemudiannya Massila turut memenuhi undangan istimewa rakaman sesi temubual khas bersama Media China, CCTV dalam slot temubual sebagai perintis pendidikan teknikal di Malaysia yang akan disiarkan menerusi saluran China TV.

Mengulas lanjut, Massila berkata, dalam tempoh forum berkenaan beliau turut berbincang bersama dengan Presiden Universiti Krirk, Thailand, Prof. Dr. Krasae Chanawong yang juga merupakan mantan Menteri Hal Ehwal Universiti (Pendidikan Tinggi) dan Penasihat Perdana Menteri.

Mereka turut membincangkan tentang ruang dan peluang buat UTeM dalam menembusi pasaran TVET aras tinggi di Thailand juga.

Ianya merujuk dalam konteks hubungan jalinan kolaborasi yang akan dijayakan UTeM bersama dengan institusi pengajian tinggi dan Institusi Vokasional Thailand lalu membuka gerbang bagi pelajar di sana menyambung pengajian TVET UTeM di Malaysia.

Menerusi WUPF yang berlangsung selama dua hari, UTeM terus menterjemahkan inspirasi tinggi untuk melebarkan jaringan TVET aras tinggi nasional yang lebih meluas di China.

WUPF yang bertujuan untuk membina platform kerjasama dan pertukaran universiti global, menyerlahkan fungsian universiti merentas peredaran zaman ini telah disertai lebih daripada 50 buah universiti terkemuka dari seluruh dunia. – MalaysiaGazette