KUALA LUMPUR – Projek kesukarelawanan Hayya ‘Alal Falah: Aspire to Inspire di bawah Kluster Pendidikan dan Motivasi, Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (SEKRUM), kembali menerusi fasa kedua dengan penganjuran program EduSpark di Universiti Malaya (UM).
Program ini hasil kolaborasi strategik bersama tiga agensi kerajaan iaitu Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Perpaduan Negara dan Majlis Belia Malaysia bagi memperkasa pendidikan serta pembangunan generasi muda.
Seramai 100 pelajar tingkatan empat, lima dan enam dari sekitar Kuala Lumpur menyertai program selama dua hari yang digerakkan 30 sukarelawan mahasiswa UM.
EduSpark membantu peserta meneroka laluan pendidikan ke peringkat lebih tinggi menerusi pelbagai aktiviti yang memberi peluang kepada mereka belajar, berinteraksi dan mendapatkan pengalaman baharu.

Program dimulakan menerusi sesi Hi Adik Junior yang memberi ruang kepada peserta berkenalan dan berinteraksi secara lebih dekat dengan mahasiswa mengenai pengalaman kehidupan di universiti.
Daripada pendedahan mengenai kehidupan kampus, peserta kemudiannya mengikuti modul Ejen Siber, slot literasi digital selama satu jam 30 minit yang memberi pendedahan mengenai keselamatan siber serta kepentingan pemikiran kritis dalam mendepani perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan.
Menerusi aktiviti ‘Masa untuk Poster!’, peserta bekerjasama menghasilkan poster menggunakan aplikasi Canva bertemakan Strategi Menangani Ketagihan Digital dan Pengurusan Masa, sebelum membentangkan hasil karya masing-masing.
Sementara itu, modul Campus Connect memberi peluang kepada peserta merasai sendiri suasana kehidupan di menara gading menerusi lawatan berpandu ke 10 lokasi strategik di sekitar UM.
Lawatan bermula di Dewan Tunku Canselor (DTC) sebelum peserta dibawa meninjau Fakulti Sains, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Fakulti Pendidikan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi serta Fakulti Kejuruteraan.
Di setiap fakulti, fasilitator berkongsi maklumat berkaitan program akademik yang ditawarkan selain memberikan gambaran mengenai kehidupan mahasiswa dalam bidang masing-masing.

Lawatan berakhir di Perpustakaan Utama UM dengan peserta diperkenalkan kepada kemudahan penyelidikan dan ruang pembelajaran yang disediakan universiti.
Pendedahan secara langsung itu memberi gambaran lebih menyeluruh mengenai ekosistem kampus, selain menyuntik keterujaan dan motivasi kepada peserta untuk melanjutkan pengajian ke UM.
Pada hari kedua, peserta menguji kreativiti dan kemahiran menyelesaikan masalah menerusi modul STEM Blaster.
Menggunakan pendekatan pembelajaran secara amali (hands-on learning), modul itu memperkenalkan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi penghasilan projek inovasi bertemakan ‘Kesihatan Mental’.
Peserta perlu menghasilkan projek inovasi menggunakan bahan yang disediakan, termasuk bahan kitar semula dan komponen elektrik asas sebelum membentangkan idea masing-masing kepada peserta lain.
Selain memberikan pengalaman pembelajaran secara praktikal, STEM Blaster membuka ruang kepada peserta melihat bidang STEM dari perspektif yang lebih dekat, kreatif dan menarik.
Secara keseluruhannya, EduSpark berjaya mencapai matlamatnya dalam memberikan pendedahan, inspirasi dan motivasi kepada pelajar untuk merancang hala tuju pendidikan masing-masing.
Pelbagai pengisian yang dilaksanakan bukan sahaja memperkaya pengetahuan peserta, malah turut mengembangkan kemahiran insaniah, kreativiti, pemikiran kritis serta kesedaran mengenai kepentingan perpaduan dan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab. – MalaysiaGazette
















