Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Ahli UMNO berkemungkinan akan membuat peralihan undi kepada calon Perikatan Nasional (PN).

Firma penyelidikan bebas Ilham Centre berkata, sekitar 27 hingga 58 peratus pengundi UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berpindah mengundi PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Katanya, tindakan akar umbi UMNO itu berikutan pendirian parti untuk tidak bergabung Pakatan Harapan (PH) dan ‘no Anwar, no DAP’ yang dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO sebelum PRU15.

Ahli UMNO juga dikatakan akan menyokong calon PN kerana berasa lebih dekat dengan Pas kesan kerjasama Muafakat Nasional yang lalu.

“Ternyata MN menguntungkan PAS dan PN secara keseluruhannya. Dari segi psikologi pula, pengundi yang selama ini memangkah BN kini merasa janggal kerana tiada logo dacing yang sinonim dengan parti itu di DUN yang ditandingi PH.

“Selain itu mereka juga takut disindir oleh orang Pas kerana sudah membela DAP-PH selepas didoktrin sekian lama dalam UMNO,” katanya.

Menurut Ilham Centre, momentum gelombang Melayu-Islam ketika PRU15 dilihat masih berterusan.

Katanya, walaupun kerjasama PH dan UMNO akan mengecilkan perpecahan undi Melayu berbanding ketika PRU15 menerusi persaingan dua penjuru namun ia masih dilihat tidak membantu calon Kerajaan Perpaduan.

“Untuk memberikan konteks, UMNO kalah di kesemua kerusi parlimen majoriti Melayu di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Selangor namun cemerlang di Negeri Sembilan dalam PRU15.

“Justeru keupayaan UMNO untuk menarik sokongan orang Melayu dalam PRN ini masih disangsikan.

“Kajian lapangan mendapati UMNO bergelut untuk mendapatkan undi orang Melayu antaranya disebabkan faktor dalaman parti,” jelasnya.

Dapatan di lapangan memperlihatkan akar umbi UMNO terbelah kepada tiga kelompok.

Pertama, kelompok anti-Presiden Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyalahkan beliau atas apa yang berlaku ke atas UMNO ketika PRU15.

Kedua, kelompok yang tiada masalah dengan Ahmad Zahid namun marah kerana UMNO bekerjasama dengan PH. Kelompok ini masih tidak dapat menerima kerjasama tersebut khususnya dengan DAP yang dianggap ekstrim dan cauvinis Cina yang anti-Melayu.

Ketiga, kelompok tiada masalah dengan Ahmad Zahid dan Kerajaan Perpaduan tetapi bermasalah dengan calon di kawasan. Penyebab antaranya ialah calon yang diletakkan bukan pilihan akar umbi serta calon PH bertanding di kawasan mereka.

Untuk rekod ketika PRU15, PN memperoleh 52 peratus undi orang Melayu diikuti BN (32 peratus) dan PH (15 peratus).-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast