Dr. Mohammad Fairus Khairuddin

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyifatkan Pertubuhan Profesor G70 (G70) tidak memahami apa yang berlaku dalam landskap politik tanah air selama ini.

Kerana tidak faham itu, kumpulan berkenaan mengisytiharkan deklarasi menyokong penuh kepimpinan Kerajaan Perpaduan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam dan Kepimpinan Putra, Datuk Dr. Mohammad Fairus Khairuddin berkata, kenyataan G70 pada Rabu lalu suatu yang dangkal dan tidak tepat.

Soal beliau, apakah pertubuhan itu selama ini tidak menginsafi denyut nadi umat Melayu dan Islam.

“Nasihat mereka kepada ahli politik sebenarnya berbalik kepada wajah mereka sendiri.

“Hakikatnya orang Melayu dan Islam mengikuti secara dekat perkembangan politik tanah air, mereka telah memperlihatkan tekad yang luhur untuk terus bangkit berjuang demi mempertahankan kedaulatan Islam dan memelihara maruah bangsa dengan lebih beradab dan bermakna.

“Oleh kerana mereka prihatin dengan segala untung nasib agama yang suci dan maruah bangsa yang berdaulat, mereka mengatur kebangkitan memperjuang dan mempertahankan maruah agama, kemuliaan bangsa dan kedaulatan negara ini.

“Ia lahir dari sikap bertanggungjawab beserta kesedaran yang jitu kerana telah sekian lama melihat nasib agama dan bangsa di bumi sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad Fairus mengulas kenyataan G70 yang menyatakan ikrar menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

Ia dizahirkan menerusi lima deklarasi yang disampaikan Pengerusinya, Prof. Datuk Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud.

Menurut Wan Ramli, PRN ke-15 ini wajar dimanfaatkan oleh rakyat di Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang demi memastikan negeri masing-masing teguh, beramanah dan bertanggungjawab terhadap masa depan rakyat.

Mengulas lanjut, Mohammad Fairus yang juga Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra berkata, pelbagai isu berlaku yang melatari kalangan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya yang semakin meresahkan jiwa pejuang agama serta bangsa.

Katanya, isu kalimah Allah yang sangat penting dan utama untuk diperhatikan serta dibela agar kesucian ad-Deenul Islamiyyah tidak tergadai adalah soal usul aqidah yang wajib dipertahankan, bukan soal picisan.

Seterusnya isu memualkan berkaitan LGBT yang jelas nyata mulai berlaku kini dan amat merungsingkan.

“Apakah mereka dalam G70 tidak celik mata batinnya untuk menyedari semua permasalahan ini yang semakin membarah?

“Justeru, pejuang agama dan bangsa ini amat prihatin serta istiqamah berjuang dengan jujur dan segala langkah dakwah serta tarbiyah umat ini harus diteruskan.

“Sebagai umat Islam, memang sewajarnyalah kami semua harus terus istiqamah berbicara berkenaan agama dan umat Melayu ini dalam ruang dan hak yang telah jelas nyata dijamin dalam perlembagaan negara,” katanya.

Kata beliau lagi, sebenarnya, pihak G70 harus bertanggungjawab menasihati perdana menteri agar beradab dan memelihara akhlak ketika berpidato supaya tidak mendedahkan kerendahan adab dan akhlak serta harus jujur dalam berkata-kata khususnya janji manis kepada rakyat banyak tidak tertunai.

Menurut Dr. Mohammad Fairus, Malaysia memerlukan kualiti kepimpinan baik di peringkat kerajaan negeri yang mampu menangani pelbagai isu rumit dan kepincangan masyarakat luar biasa yang belum pernah dihadapinya sebelum ini.

Pilihan raya ini, jelas beliau, adalah ruang bagi rakyat di negeri berkenaan menyertai secara aktif dalam memilih sebuah kerajaan negeri yang mampu membina sebuah sistem urus tadbir dan tata kelola kerajaan cekap, telus, bebas rasuah serta salah guna kuasa. – MalaysiaGazette