Uzair Mohamad Fadzli

KUALA LUMPUR – Mahasiswa Keadilan menuntut supaya polis menjalankan siasatan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan Projek 1BestariNet.

Pengerusinya, Uzair Mohamad Fadzli mendakwa projek yang diluluskan pada tahun 2012 ketika Muhyiddin menyandang jawatan Menteri Pendidikan telah gagal mencapai objektif.

Jelas beliau, dalam masa yang sama, syarikat yang sepatutnya melaksanakan projek tersebut, YTL Corporation Berhad (YTL) telah dibayar melebihi kos yang sepatutnya.

“Berita yang sebelum ini dilaporkan oleh portal Malaysia World News sebelum ini mendedahkan projek 1BestariNet dan dilaporkan juga oleh Kementerian Pendidikan pada tahun 2019 termasuk pendedahan Laporan Ketua Audit Negara pada 2013 yang berkata projek tersebut menelan belanja RM4.6 bilion jauh lebih tinggi daripada kos yang sepatutnya hanya bernilai RM1 bilion,” katanya ketika sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Terdahulu Uzair berkata, isu projek 1BestariNet didedahkan oleh bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik baru-baru ini menerusi video dan kemudian dikongsikan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT)  UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menerusi  baru-baru ini.

Sehubungan itu, katanya, laporan polis dibuat terhadap Muhyiddin hari ini dengan merujuk kepada hantaran berkenaan.

“Berdasarkan pendedahan-pendedahan tersebut, saya percaya projek 1BestariNet telah melanggar prosedur dan tatakelola perolehan kerajaan akibat daripada berlakunya penyelewengan dan salah guna kuasa oleh pihak yang meluluskan projek tersebut,” kata Uzair lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, Maszlee menerusi pendedahannya juga mendakwa YTL telah membina tiang pencawang di atas tanah milik kerajaan tanpa membayar caj utiliti atau sewa.

“Kedua-dua kos sepatutnya dibayar kepada kerajaan sehingga mengakibatkan kerugian bernilai jutaan ringgit,” katanya.

Sementara itu beliau juga memaklumkan gerakan membuat laporan polis oleh Mahasiswa Keadilan akan dilakukan di seluruh negara bermula hari ini bagi memastikan pihak berkuasa mengambil serius isu tersebut.

Sebagai rekod, 1BestariNet merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia pada 2012 bertujuan untuk menyediakan kemudahan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) khususnya meningkatkan kecekapan dalam pengurusan dan penyampaian pembelajaran.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast